ABDUL Fattah (tengah) melawat koperasi selepas perasmian penutup Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2015 di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.
ABDUL Fattah (tengah) melawat koperasi selepas perasmian penutup Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2015 di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.

Puchong: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal mewujudkan Konsortium Koperasi Kariah Masjid pertama dengan peruntukan sebanyak RM1 juta menjelang akhir tahun ini sebagai langkah untuk memantapkan serta membangunkan koperasi berkenaan terutama dalam meneroka bidang perniagaan lebih luas.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan dan sedang menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mewujudkan konsortium terdiri daripada gabungan sembilan Koperasi Kariah Masjid di seluruh negara.

Katanya, menerusi konsortium yang akan ditubuhkan itu, ia adalah konsortium keempat yang diwujudkan oleh ANGKASA selain Konsortium Koperasi Penanam Padi Negeri Kedah Berhad, Konsortium Koperasi Penanam Padi Negeri Perlis Berhad dan Konsortium Koperasi Ternakan Ikan Negeri Pahang.

“Kita sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Koperasi Kariah Masjid dengan rancangan menubuhkan sebuah konsortium. Kita jangkakan ia dapat diwujudkan sebelum akhir tahun ini dan permohonan sudah dihantar kepada SKM.

“Konsortium ini menggabungkan sembilan koperasi kariah masjid dan peranannya bukan saja untuk meneroka bidang perniagaan tetapi menjadi platform untuk koperasi ini mendapatkan bekalan dan lesen mengimport barangan termasuk memasarkan produk ke luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 8:52 AM