Penduduk Orang Asli Kampung Aring 5 terputus hubungan apabila jambatan Sungai Aring di kampung itu tenggelam. FOTO Ramli Ibrahim
Penduduk Orang Asli Kampung Aring 5 terputus hubungan apabila jambatan Sungai Aring di kampung itu tenggelam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


LEBIH 300 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Aring 5, Gua Musang terputus hubungan apabila jambatan Sungai Aring di kampung itu tenggelam malam tadi.

Ini berikutan hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan air Sungai Aring naik mendadak menyebabkan jambatan yang menghubungkan kampung itu tenggelam 8 malam tadi.

Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, penduduk menyedari jambatan itu terputus hubungan apabila ada di kalangan mereka hendak ke bandar Gua Musang.

Katanya, jambatan Sungai Aring itu tenggelam tiga meter dan tidak boleh dilalui semua kenderaan dan penduduk juga tidak mempunyai bot untuk menyeberangi sungai berkenaan.

Menurutnya, setakat petang ini limpahan air sungai itu belum surut kerana cuaca masih hujan.

“Ini kejadian pertama jambatan di kampung ini terputus hubungan, namun ia belum membabitkan kediaman penduduk.

“Walaupun pernah berlaku hujan lebat sebelum ini, namun air sungai itu tidak pernah melimpah dan kejadian ini dianggap paling besar,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Guru Agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Kampung Aring 5, Mohd Fadzli Mahmok, meluahkan kebimbangan jika air sungai itu belum surut hingga lewat petang ini, banyak masalah bakal dihadapi penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Berikutan itu, beliau berkata, jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan dan menasihatkan penduduk Orang Asli mematuhi arahan dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 2:26 PM