JAMBATAN Kampung Kerinting dekat Bandar Lama di Gua Musang, yang tenggelam petang semalam turut dibuka semula kepada pengguna dua jam kemudian. FOTO Ramli Ibrahim
JAMBATAN Kampung Kerinting dekat Bandar Lama di Gua Musang, yang tenggelam petang semalam turut dibuka semula kepada pengguna dua jam kemudian. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


DUA jambatan yang menjadi penghubung penduduk di Gua Musang yang tenggelam semalam akibat hujan lebat, kini dibuka semula kepada semua kenderaan.

Jambatan sementara Setelu yang merentasi Sungai Nenggiri serta menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli di Kampung Pulau Setelu serta jambatan Sungai Ketil di Kampung Kerinting, kini dibuka sepenuhnya.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa jambatan sementara di Kampung Pulau Setelu semakin uzur apabila beberapa lantai besi hampir tercabut.

Seorang penduduk, Kamarulzaman Daud, 50, berkata, jambatan Kampung Pulau Setelu itu perlu dibaik pulih bagi mengelakkan bahaya kepada pengguna.

Beliau berkata, walaupun jambatan konkrit dalam pembinaan tetapi mengambil masa panjang lagi untuk disiapkan dan buat sementara ini, jambatan sementara perlu dibaiki.

Katanya, jambatan sementara itu dibina terlalu rendah menyebabkan setiap kali hujan lebat air sungai melimpahi jambatan dan terputus hubungan.

“Tahun ini saja sudah 11 kali jambatan itu tenggelam dan mungkin akan banyak kali lagi tenggelam pada musim tengkujuh akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pengguna jambatan Kampung Kerinting, Baharum Yusoff, 48, pula berkata, jambatan berkenaan tenggelam pada 5 petang semalam apabila hujan lebat selama tiga jam sebelum itu.

Bagaimanapun, katanya, jambatan itu boleh dilalui semula dua jam kemudian sebaik hujan berhenti tetapi sisa kayu banyak tersekat di situ.

Katanya, sudah dua kali jambatan berkenaan tenggelam dalam tempoh dua minggu ini.

“Air Sungai Ketil itu cepat naik apabila hujan lebat tetapi cepat surut semula sebaik hujan berhenti kerana kedudukan jambatan terlalu rendah di permukaan sungai,” katanya.

Berita berkaitan

Jambatan Kampung Kerinting ditutup lagi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 2:06 PM