Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


DUA lelaki disyaki membawa daun ketum di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang terbabit kemalangan semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek berusia 40-an itu ditahan polis selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar sebuah kedai makan di Jalan Pedas-Kundur dekat Kampung Kundur Tengah, Rembau pada 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, mereka direman empat hari bermula hari ini sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Kita (polis) mendapatkan permohonan reman suspek di Mahkamah Majistret Tampin untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan kita masih menyiasat mengenai penemuan daun ketum itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan, dua lelaki terjerat apabila kenderaan dengan muatan ketum yang dinaiki mereka terbabas melanggar sebuah kedai makan di Jalan Pedas-Kundur dekat Kampung Kundur Tengah.

Kedua-dua suspek itu ditahan polis selepas pemeriksaan menemui 16 guni daun ketum di bahagian penumpang belakang serta bonet kenderaan.

Berita berkaitan

Ranapkan kedai, kantoi pula bawa ketum

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 2:02 PM