KERETA MPV yang membawa 16 guni daun ketum merempuh kedai makanan di Jalan Pedas-Kundur. FOTO Ihsan Polis
KERETA MPV yang membawa 16 guni daun ketum merempuh kedai makanan di Jalan Pedas-Kundur. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


DUA lelaki terjerat diri apabila kenderaan dengan muatan ketum yang dinaiki mereka terbabas melanggar sebuah kedai makan di Jalan Pedas-Kundur dekat Kampung Kundur Tengah di Rembau, hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 40-an itu ditahan polis selepas pemeriksaan menemui 16 guni daun ketum dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora berkenaan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, polis menerima panggilan mengenai kemalangan 8.15 pagi.

“Apabila anggota peronda tiba di lokasi, didapati Proton Exora terbabas melanggar sebuah kedai makan.

“Anggota membuat pemeriksaan dan didapati terdapat 16 guni disyaki berisi daun ketum di bahagian penumpang belakang serta bonet kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, polis menahan dua lelaki manakala kenderaan dan barang kes dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Rembau untuk permohonan reman, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 7:58 PM