Lebuhraya Pan Borneo. Foto Ihsan Pan Borneo
Lebuhraya Pan Borneo. Foto Ihsan Pan Borneo
Suzianah Jiffar


KEMENTERIAN Kerja Raya sentiasa mengambil kira isu persekitaran dalam setiap pembinaan lebuh raya terutamanya membabitkan kawasan hutan yang menjadi habitat kepada hidupan liar.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, memang menjadi dasar kementerian membangunkan infrastruktur di seluruh negara dengan mengambil berat mengenai isu persekitaran selain mendengar taklimat daripada badan bukan kerajaan (NGO).

“Sebab itu menjadi dasar kita dalam usaha membangunkan infrastruktur seluruh negara, kita ambil kira isu alam sekitar. Kita juga mendapat taklimat daripada NGO mengenai ini.

“Dalam melaksanakan Pan Borneo Sarawak untuk fasa pertama pun, kita sudah mengambil kira isu laluan haiwan (animal crossing).

“Begitu juga di semenanjung, melalui jajaran CSR (Central Spine Road) pun kita ada laluan haiwan dan ini dalam teras kita serta ambil serius mengenai isu ini dalam membangunkan infrastruktur seluruh negara,” katanya selepas majlis makan malam Penghargaan Media KKR dan Anugerah Media CIDB 2019 di Kota Kinabalu malam tadi.

Sementara itu, Baru berkata, Projek Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 165 kilometer (km) menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur akan memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua buah negeri.

Menurutnya, antara fasa komponen yang terpenting projek itu ialah pakej bernilai RM600 juta untuk 40 km Jalan Kalabakan-Serudong di Tawau dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) dan kuarters perumahan kerajaan yang bersempadan dengan Kalimantan.

“Kita sedia maklum bahawa Indonesia akan memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur dan hasil pertemuan saya dengan Presiden Jokowi (Joko Widodo) pada September lalu memaklumkan proses pembangunan akan bermula pada tahun hadapan sebelum berpindah secara berperingkat pada 2024,” katanya.

Mengenai majlis iru, beliau berharap hubungan antara kementeriannya dengan media akan berterusan.

“Media adalah penting kepada kita untuk menyampaikan dasar dan aktiviti kementerian kepada rakyat. Saya berharap hubungan rapat ini akan berterusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 10:45 AM