ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO BERNAMA
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan memberi tumpuan kepada usaha menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo, sebagai langkah memastikan pembangunan kemudahan penduduk di luar bandar Sabah dan Sarawak.

Nanta berkata perkara itu adalah salah satu fokus utama beliau setelah dilantik menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR), selain memastikan projek bermasalah di seluruh negara dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya akan diberi taklimat oleh pegawai KKR dan selepas itu saya berharap akan mengetahui secara umum dahulu apa sebenarnya perkhidmatan teras KKR dan dalam dua hingga tiga minggu lagi saya akan dapatkan maklumat lebih terperinci, supaya saya boleh mengetahui sedalam-dalamnya berkaitan tanggungjawab dan bagaimana menangani masalah di depani kementerian ini.

"Sudah pasti tumpuan saya projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak untuk dilaksana dan disiapkan dengan terbaik, selain projek di Sabah juga kerana difahamkan pencapaian di Sabah belum memuaskan," katanya selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi di ibu pejabat KKR, di sini hari ini.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ialah projek pembangunan berimpak tinggi yang akan memanfaatkan rakyat di Sabah dan Sarawak, untuk memperoleh infrastruktur jalan raya lebih baik.

Fasa pertama projek yang dilancarkan pada 2016 itu sepatutnya siap tahun ini, namun di Sabah, projek tersebut kini lebih 60 peratus siap, manakala di Sarawak lebih 85 peratus.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang merupakan bekas Menteri Kerja Raya telah menyerah tugas kepada Nanta, dan yakin penggantinya itu mampu menerajui KKR dengan baik selain memastikan pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak berjalan lancar.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga KKR yang komited dan memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang beliau berkhidmat di kementerian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 5:55 PM