Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Fenomena kerang terdampar di beberapa pantai di Terengganu antara yang dinantikan penduduk di negeri ini setiap kali musim tengkujuh.

Pada kebiasaannya orang ramai akan berkampung di kawasan berkenaan dan ada antara mereka mampu mengutip lebih 50 kilogram kerang.

Antara kawasan yang pernah menjadi tumpuan ramai adalah Pantai Rusila, Marang dan Pantai Rhu Muda, Dungun.

Bagaimanapun, tahun ini fenomena sama berlaku di pesisiran Pantai Pandak, Chendering, di sini sejak kelmarin menyebabkan kawasan berkenaan dipenuhi pengunjung.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dilaksanakan selain peralihan Monsun Timur Laut (MTL) sedang berlaku, ia tidak menghalang orang ramai mengutip kerang yang menjadi sumber rezeki tambahan penduduk.

Tinjauan NSTP mendapati kawasan berkenaan menjadi tumpuan orang ramai untuk mengutip kerang selain ada yang mereka yang hanya mandi dan bersantai di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, ada antara pengunjung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila tidak memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal.

PEGAWAI Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu , Pegawai Bomba Kanan 11 Wan Mohd Azamani Wan Hamzah menasihatkan pengunjung di kawasan Pantai Pandak, Chendering. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
PEGAWAI Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu , Pegawai Bomba Kanan 11 Wan Mohd Azamani Wan Hamzah menasihatkan pengunjung di kawasan Pantai Pandak, Chendering. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu , Pegawai Bomba Kanan 11 Wan Mohd Azamani Wan Hamzah berkata, fenomena kerang ini menyebabkan kawasan berkenaan menjadi tumpuan pengunjung.

Menurutnya, cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar susulan peralihan MTL boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai.

"Pengunjung dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di kawasan pantai seperti mandi atau bermain air pada musim ini kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

"Tidak sesuai menghampiri pantai ketika ini kerana keadaan ombak yang besar malah kawasan ini juga pernah berlaku kes lemas.

"Bukan sahaja pantai, orang ramai juga diminta tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan rekreasi lain seperti perkelahan di sungai, dalam hutan, air terjun serta mendaki sepanjang musim tengkujuh ini," katanya yang ditemui selepas selepas melakukan rondaan di sekitar kawasan Pantai Pandak, Chendering di sini.

Terdahulu, seramai sembilan pegawai dan anggota BBP Kuala Terengganu melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan bermula jam 5 petang susulan fenomena kerang yang menyebabkan kawasan berkenaan dipenuhi pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 10:05 AM