BOM buatan sendiri yang dibaling suspek ke dalam rumah mangsa. FOTO Ihsan PDRM
BOM buatan sendiri yang dibaling suspek ke dalam rumah mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


TIGA lelaki melemparkan bom buatan sendiri dan juga beg mengandungi pisau pemotong sayur di rumah teres tiga tingkat di Bukit Gambir, Georgetown, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, semua lelaki terbabit pada mulanya masuk ke dalam rumah berkenaan untuk merampas beg yang dikatakan mempunyai barang berharga milik penghuni rumah.

Bagaimanapun, perbuatan itu dihalang pengawal peribadi pemilik rumah terbabit yang kemudian bergelut dengan mereka.

Sumber berkata, suspek yang gagal merampas beg pemilik rumah itu kemudian melarikan diri dan mereka sempat mencampak bom buatan sendiri dan juga beg merah mengandungi pisau.

"Berikutan itu, sepasukan polis Unit Pemusnah Bom (UPB) dipanggil untuk membuat pemeriksaan.

"Bom itu diletupkan UPB dua kali pada 12.15 dan 12.20 tengah malam dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sumber berkata, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada pemilik rumah dan juga saksi yang melihat kejadian itu.

"Kita sedang mengesan semua suspek untuk siasatan lanjut dan setakat ini siasatan awal mendapati kejadian kemungkinan berpunca daripada masalah hutang.

"Setakat ini, kita difahamkan yang suspek memaksa pemilik rumah itu memindahkan mata wang digital bitcoin ke dalam akaun mereka kerana mendakwa bapanya mempunyai hutang dengan mereka," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 11:17 AM