Hadzlihady Hassan


BUAT laporan palsu konon disamun kerana enggan bayar hutang rakan. Itu dikesan dilakukan seorang lelaki yang sanggup membuat cerita dia disamun dalam kejadian di tepi Jalan Sejahtera, Machang Bubok, di Bukit Mertajam, Isnin lalu.

Dalam laporan polis yang dibuatnya itu, lelaki berusia 20 tahun terbabit mendakwa kejadian berlaku jam 3 pagi ketika dia sedang menunggang motosikal kerana mahu pulang ke rumahnya di Taman Sejahtera.

Dia kemudiannya memberitahu ditahan empat lelaki yang menaiki dua motosikal dengan seorang daripada mereka mengacu pisau ke lehernya.

Semua empat lelaki terbabit kemudian merampas beg miliknya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM6,500 yang diletak dalam raga motosikal dan terus beredar.

Berikutan itu, dia kemudian membuat laporan berhubung kejadian terbabit, namun selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), dia didapati menipu dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek membuat laporan palsu kerana dia mahu mengelak membayar hutang kepada rakannya.

“Suspek mendakwa dia meminjam RM8,000 dengan seorang rakan dan wang itu pula digunakan untuk membayar hutang kepada along.

“Dia memberitahu terpaksa membuat laporan palsu disamun kerana mahu menangguh daripada membayar hutang kepada rakannya itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis menghubungi rakannya dan dia mengaku suspek memang ada meminjam wang RM8,000 daripadanya.

“Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 10:34 AM