Hadzlihady Hassan


BUAT laporan konon kena samun, namun hakikatnya wang terbabit digunakan untuk membayar hutang dan berjudi.

Itu dilakukan dua lelaki yang dikesan membuat laporan palsu mengatakan mereka disamun dalam dua kejadian berasingan di kawasan Bukit Mertajam, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Zainol Samah berkata, dalam kejadian pertama 8 pagi di Machang Bubok, dekat sini, seorang lelaki membuat laporan polis mengatakan dia disamun ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Menurutnya, lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa dia ditahan empat lelaki yang menunggang motosikal dan bersenjatakan pisau yang merampas beg silang dibawanya.

"Dalam beg terbabit mengandungi wang tunai RM9,000 milik majikannya dan polis yang menjalankan siasatan mendapati ada keraguan dalam laporan yang dibuatnya.

"Selepas disoal siasat, suspek mengaku yang dia menggunakan wang terbabit untuk membayar hutang dan juga berjudi" katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zainol berkata, dalam kejadian kedua pada hari sama, seorang lelaki berusia 23 tahun turut membuat laporan mengatakan dia disamun wang tunai berjumlah RM10, 000 yang dikeluarkan di bank.

"Suspek mendakwa kejadian itu berlaku pada 3.50 petang ketika dia dalam perjalanan pulang di kawasan Bayu Mutiara, Bukit Mertajam dan dia ditahan dua lelaki bersenjata pistol yang kemudian merampas beg pinggang miliknya.

"Suspek membuat laporan polis, namun siasatan mendapati dia menipu kerana mahu menggunakan wang milik ibunya untuk membayar hutang," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit membuat laporan palsu kerana bimbang dimarahi dan dipersalahkan majikan serta ibu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2, 000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 5:21 PM