ANTARA arnab peliharaan Mohd Syam (gambar kecil) yang dibawa ke Pantai Klebang. FOTO Nazri Abu Bakar
ANTARA arnab peliharaan Mohd Syam (gambar kecil) yang dibawa ke Pantai Klebang. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


“SAYA tidak mahu selamanya bergantung kepada bantuan kerajaan, sebab itu saya jadikan hobi membela arnab ini sebagai sumber pendapatan,” kata penerima bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Syam Ibrahim, 45.

Bapa kepada lima anak yang turut mengidap penyakit jantung, asma, darah tinggi dan kencing manis itu berkata, dia tidak mahu selamanya mengharapkan bantuan ihsan sedangkan mungkin ada orang lebih layak memerlukannya.

“Walaupun baru menerima bantuan MAIM sebanyak RM450 sebulan sejak Jun lalu, saya berusaha untuk tidak mahu terlalu lama bergantung kepada wang ihsan itu.

“Kebetulan, saya ada menternak 200 arnab di rumah di Durian Tunggal sejak dua tahun lalu dan idea menjadikan arnab ini sebagai sumber pendapatan timbul selepas berasa terhibur melihat telatah comel haiwan berkenaan yang boleh dikongsikan bersama orang ramai,” katanya ketika ditemui di Melaka.

Menurutnya, jika usahanya itu mendapat sambutan menggalakkan, dia berharap dapat berhenti daripada menerima bantuan MAIM kerana mahu memberikan peluang itu kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Alhamdulillah, selepas beberapa bulan berniaga di Pantai Klebang dengan kadar bayaran antara RM1 dan RM4 seorang untuk pengunjung bergambar, bermain dan memberi arnab makan, sambutan diterima semakin baik,” katanya.

Mohd Syam berkata, dengan bertemankan isteri Nurul Hidayah Sarkam, 36, dan anaknya Nur Umirah, 16, dia akan membawa kesemua arnab berkenaan menaiki kereta untuk ke Pantai Klebang setiap hari, terutama hujung minggu.

“Dengan bayaran hanya RM1, pengunjung akan diberi secawan lobak untuk diberi kepada arnab ini, manakala RM4 untuk mereka bergambar, memegang atau bermain dengan haiwan berkenaan.

“Pendapatan yang diperoleh juga tidak menentu antara RM500 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah pengunjung dan keadaan cuaca,” katanya sambil menambah arnab dibela adalah daripada baka Holland Lop, Mini Rex dan Netherland Dwarf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 10:14 PM