Zainulddin Lela memetik pokok kurma yang masak yang berbuah lebat diperkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Zainulddin Lela memetik pokok kurma yang masak yang berbuah lebat diperkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Selepas 10 tahun menanti, pokok kurma yang ditanam di kawasan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 kini mula mengeluarkan hasil dan menjadi tarikan kepada pengunjung.

Petugas masjid berkenaan, Zainulddin Lela, 62, berkata ini kali pertama pokok berkenaan berbuah lebat selepas sekian lama ditanam pihak pengurusan masjid sebagai pokok hiasan.

Beliau berkata, terdapat 10 pokok kurma di kawasan masjid berkenaan namun hanya sepokok sahaja berbuah.

"Pengunjung yang mengetahui pokok kurma berbuah pasti mencarinya untuk melihat lebih dekat suatu yang dianggap luar biasa kerana jarang dapat melihat keadaan sedemikian.

"Mereka tidak melepaskan peluang bergambar, saiz pokok yang rendah serta dalam kotak simen mencantikkan lagi pemandangan," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, sebelum ini pihak masjid berbincang mencari jalan terbaik memastikan semua pokok kurma mengeluarkan buah terutama selepas lebih 10 tahun ditanam dan bersyukur ia sudah berbuah awal bulan lalu.

"Beberapa pasangan pengantin mengadakan majlis pernikahan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 tidak melepaskan peluang bergambar di bawah pokok kurma berkenaan dengan pemandangan berlatar masjid.

"Ada yang datang melihat pokok kurma berpeluang merasa buah yang masak, mereka mendakwa rasanya manis tetapi berbeza dengan kurma diimport," katanya yang sudah enam tahun bertugas di masjid negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:11 PM