Laporan portal berita Harian Metro 30 September lalu.
Laporan portal berita Harian Metro 30 September lalu.
Erika George


“SAYA akan terus menanti kepulangan anak dan jika betul dia sudah tiada, saya berharap dapat melihat jasad serta mahu dia disemadikan di tempat sewajarnya,” luah Anisah Razali, 28.

Anisah ialah ibu kepada Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, 6, yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Villa Adila, Kampung Baru Lait, Bintulu 28 September lalu.

Menurut Anisah, dia percaya anaknya masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.

“Walaupun sudah tiga minggu hilang, saya tetap menaruh harapan dia akan pulang ke pangkuan kami satu hari nanti.

“Saya berdoa kepada Allah SWT setiap hari dengan harapan anak saya ditemui sama ada hidup atau mati,” katanya sebak ketika ditemui hari ini.

Bercerita mengenai kehilangan anak perempuannya itu, Anisah berkata, kali terakhir dia melihat Puteri Nurardiana ketika anaknya itu menghantar kucing kesayangan ke depan pintu bilik sebelum tidur.

“Ketika bangun 3.30 pagi, saya terus menjenguknya di bilik tetapi terkejut kerana dia tiada di katil.

“Saya turut memeriksa di tandas jika dia ada di situ tetapi hampa. Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya mengejutkan suami dan ahli keluarga lain bagi mencarinya di sekitar rumah serta kawasan berhampiran, namun kami masih gagal menemuinya.

“Saya ingat dia terus tidur selepas bermain-main dengan kucing,” katanya.

Anisah dan suami Cecep Saepuloh, 30, berharap dapat menemui anak mereka sama ada hidup atau mati. FOTO Erika George
Anisah dan suami Cecep Saepuloh, 30, berharap dapat menemui anak mereka sama ada hidup atau mati. FOTO Erika George

Anisah berkata, anaknya juga membawa bersama botol susu dan bantal.

“Sebelum kehilangannya, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan atau sesuatu yang pelik.

“Anak saya memang aktif dan kerap membeli makanan kegemaran di kedai runcit berhampiran.

“Jika dia pergi ke jeti, dia pasti ditemani orang dewasa dan tidak pernah bersendirian kerana sebagai penduduk yang tinggal di kampung atas air, kami sentiasa peka dengan keselamatan ahli keluarga khususnya anak kecil,” katanya.

Berita berkaitan

Tolong cari Puteri Nurardiana

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 4:17 PM