MOHD Baharudin (kanan) dan Afiq Luqman menunjukkan plak Anugerah Wirawati pada Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
MOHD Baharudin (kanan) dan Afiq Luqman menunjukkan plak Anugerah Wirawati pada Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Putrajaya: Keluarga pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Allahyarhamah Anisah Ali yang meninggal dunia akibat dirempuh tonto di Pasir Mas, Kelantan menyifatkan Anugerah Wirawati diterima menunjukkan jasanya masih dikenang walaupun meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Suaminya, Mohd Baharudin Hamid, 65, berkata, dia turut mengharapkan polis yang menyiasat kes kematian isterinya agar dapat mengemukakan tertuduh ke muka pengadilan.

"Kes ini sudah lama. Saya pun tak tahu sampai peringkat mana perkembangannya. Pada masa dulu, polis yang buat siasatan itu kata belum dapat bukti untuk tuduh dan kes itu masih tak ditutup.

"Saya amat berharap, polis yang buat siasatan itu kalau ada bukti untuk tuduh pelaku sebab (saya) masih tertanya-tanya siapa pelakunya," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pada Oktober 2016, Anisah yang menaiki kenderaan bersama dua rakannya dirempuh tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.

Anisah yang selepas itu koma, meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dan komplikasi usus.

Sementara itu, anaknya, Afiq Luqman, 29, menggesa agar kerajaan mengadakan inkues kematian ibunya pada kadar segera.

Katanya, prosiding terbuka dan telus itu penting bagi menentukan apa yang berlaku sewaktu kejadian dan siapa yang menyebabkan kematian.

"Saya dan keluarga melalui pendakwa raya atau peguam berpeluang bertanya soalan-soalan penting kepada saksi-saksi yang ada dengan disaksikan oleh orang awam.

"Trauma yang dahsyat yang dialami oleh kami sekeluarga dan rakan penjawat dalam kastam serta persoalan-persoalan penting yang tidak terjawab sebelum ini, pasti dapat dirungkai melalui proses inkues ini.

"Saksi-saksi yang selama ini mungkin berdiam diri, lebih mudah untuk dipanggil memberi maklumat penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 4:32 PM