Ridhatul Rizki

Kuala Lumpur : Anisah Mohd Farid, 22, ternyata bertuah apabila menjadi satu-satunya penuntut Malaysia di United Kingdom yang dijemput menyertai pertemuan dengan komuniti Instagram di London pada 12 November 2016, malah berpeluang bertemu dengan Pengasas Bersama Instagram, Kevin Systrom.

Anisah berkata, pertemuan dengan 100 pengguna Instagram di Tate Modern Gallery, London itu membincangkan bagaimana laman sosial Instagram dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat seluruh dunia.

“Saya tak pernah berhubung dengan sesiapa daripada Instagram sebelum ini. Tiba-tiba saya terima jemputan daripada mereka untuk menyertai pertemuan itu.

“Kata mereka, saya dipilih secara rawak kerana gambar yang saya muat-naik di Instagram unik dan memiliki maksud tersendiri. Malah gambar yang cantik bukan keutamaan mereka, sebaliknya apa yang cuba disampaikan menerusi gambar terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Anisah yang menggunakan nama @pinkdurian di Instagram, dia mahu menggunakan laman sosial itu untuk menyebarkan mesej tentang keyakinan diri dan kerja keras.

“Dulu saya tiada keyakinan diri. Saya susah nak bercakap dengan orang, tetapi saya sedar saya perlu berubah jika saya mahu berjaya dalam hidup.

“Selepas tamat SPM, saya sengaja pergi pelbagai temuduga kerja hanya untuk membina keyakinan diri dan supaya tak takut bercakap dengan orang asing,” katanya.

Tambah Anisah, laman sosial seperti Instagram dan Facebook adalah medium terbaik untuk mendekati anak muda kerana generasi ini terdedah dengan laman sosial.

“Generasi sekarang memiliki pelbagai teknologi termasuk telefon pintar, internet, media sosial dan sebagainya. Menerusi platform ini, generasi muda mudah untuk didekati,” katanya menambah anak muda harus melengkapkan diri dengan ilmu bagi membina keyakinan diri.

“Ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan kita. Banyakkan membaca tentang apa saja isu sama ada ekonomi, politik atau sebagainya. Bila kita ada ilmu, kita tak takut bercakap tentang apa saja dengan sesiapa,” kata Anisah.

Pelajar tahun pertama jurusan ‘Fashion Pattern Cutting’ di University of the Arts London, United Kingdom itu memasang impian untuk mengubah industri fesyen dunia.

“Industri fesyen dunia masih ragu-ragu dengan pembabitan wanita Muslim dalam industri ini. Saya mahu mengubah persepsi terbabit agar fesyen wanita Muslim diterima di persada dunia,” katanya.

Selain itu, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah itu juga adalah rakyat Malaysia pertama dimana gambarnya dipamerkan di pameran fotografi oleh jurufoto terkemuka Jean-Jacques.

Pameran yang berlangsung di Muzium Fotografi Den Haag, Belanda bermula Mac hingga September ini mempamerkan gambar terbaik yang dirakam oleh jurufoto itu menggunakan kamera Game Boy.

“Saya bertemu Jean secara kebetulan ketika menghadiri pertemuan dengan komunti Instagram London. Katanya, dia berminat merakam gambar saya kerana menurut Jean, dia kagum dengan semangat dalam diri saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 9:46 PM