LOKASI tumpahan bahan kimia susulan lori dipercayai hilang kawalan lalu terbalik. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
LOKASI tumpahan bahan kimia susulan lori dipercayai hilang kawalan lalu terbalik. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


PASUKAN Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) mengambil masa kira- kira tiga jam bagi membersihkan tumpahan 2,000 liter bahan kimia dalam kejadian di laluan masuk Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Dalam kejadian 11.25 pagi itu, lori muatan bahan kimia campuran konkrit terbalik menyebabkan lima lorong plaza tol ditutup sementara.

Difahamkan, sebelum kejadian lori dipandu lelaki berusia 30 tahun yang dalam perjalanan dari Kajang, Selangor ke Cheng, Melaka, dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.28 pagi sebelum 23 anggota dan pasukan HAZMAT bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati lori berkenaan membawa 8,000 liter bahan kimia campuran konkrit bagaimanapun hanya 2,000 liter tumpah.

“Kami menggunakan semburan foam (buih) terlebih dahulu bagi mengelakkan terdedah kepada sebarang bahan mudah terbakar sebelum membaiki kedudukan lori.

“Bahan kimia yang bocor kita sudah stabil dan takungkan untuk dipindahkan bagi membersihkan tumpahan yang berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkhairani berkata, hasil bacaan menunjukkan bahan kimia itu tidak memudaratkan sekiranya terhidu sebaliknya mudah terbakar.

“Kerja kawalan dan pembersihan bahan kimia itu mengambil masa kira- kira tiga jam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi memaklumkan, operasi di laluan masuk Plaza Tol Ayer Keroh sudah kembali beroperasi, 4.15 petang tadi.

Berita berkaitan:

  • 5 lorong tol masuk Ayer Keroh ditutup
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 8:35 PM