ANGOTA Hazmat melakukan proses nyahcemar di makmal sains SMK Sungai Udang.
ANGOTA Hazmat melakukan proses nyahcemar di makmal sains SMK Sungai Udang.
Oleh Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang pembantu makmal berdepan detik cemas apabila tabung cecair kimia asid nitrik dikendalikannya pecah dalam kejadian di makmal sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Udang di sini.

Pegawai Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 pagi semalam sebelum tiga jentera bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, turut ke lokasi kejadian bersama 17 anggota dan pegawai, sepasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

"Siasatan awal mendapati berlaku tumpahan bahan kimia disyaki asid nitrik dianggarkan sebanyak 2.5 liter.

"Terdapat seorang mangsa wanita berusia 37 tahun iaitu pembantu makmal. Mangsa segera dibawa ke klinik kesihatan berdekatan dengan menaiki kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi pemeriksaan.

"Mangsa hanya terkena percikan tumpahan bahan kimia pada kaki dan pasukan Hazmat melakukan nyahcemar sebelum operasi selesai jam 2.11 petang.

"Ketika kejadian, difahamkan pembantu makmal sedang dalam proses pemindahan bahan kimia ke bekas yang lain.

"Kejadian disyaki berlaku disebabkan tabung bahan kimia mereput dan pecah ketika proses dilution dijalankan menyebabkan kandungannya tumpah ke lantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 7:01 AM