ANGGOTA HAZMAT memeriksa lori yang membawa bahan kimia jenis polimer selepas mengalami kebocoran hingga mengakibatkan serbuk kimia tumpah di atas jalan raya di Kilometer 255, Lebuhraya PLUS arah utara, semalam.
ANGGOTA HAZMAT memeriksa lori yang membawa bahan kimia jenis polimer selepas mengalami kebocoran hingga mengakibatkan serbuk kimia tumpah di atas jalan raya di Kilometer 255, Lebuhraya PLUS arah utara, semalam.
Essa Abu Yamin

Kuala Kangsar: Satu daripada dua lorong di Kilometer 255, Lebuhraya PLUS arah utara di sini, terpaksa ditutup sementara selepas bahan kimia polimer dibawa sebuah lori mengalami kebocoran, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian lori membawa 18 tong cecair kimia itu dalam perjalanan dari Ipoh ke sebuah kilang di Taiping sebelum satu daripada tong seberat satu tan berisi bahan kimia berkenaan bocor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, anggota dengan bantuan Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada jam 10.08 pagi.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati lori berkenaan mengalami kebocoran dan bahan kimia mengalir di kiri lebuh raya.

“Susulan itu, anggota bomba terpaksa menutup satu daripada dua lorong bagi membersihkan sisa tumpahan bahan kimia berkenaan.

“Tumpahan itu dialirkan ke parit berdekatan dan sekatan dibuat dengan menggunakan pasir,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, bahan kimia berkenaan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Katanya, namun permukaan lebuh raya sedikit licin akibat tumpahan itu dan pengguna yang melalui lokasi kejadian perlu berhati-hati.

Menurutnya, syarikat lori kemudian memindahkan bahan kimia ke lori lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 11:17 AM