MOHD Saiful  yang kudung tangan kiri  tetap gigih cari rezeki bagi menyara keluarga ketika ditemui di pasar minggu di Gua Musang.
MOHD Saiful yang kudung tangan kiri tetap gigih cari rezeki bagi menyara keluarga ketika ditemui di pasar minggu di Gua Musang.
Ramli Ibrahim


GUA MUSANG: Biarpun kudung tangan kiri, seorang peniaga tidak menjadikannya sebagai halangan untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Dengan hanya menggunakan tangan kanan, Mohd Saiful Salleh, 30, mampu menggoreng 20 kuali kuetiau kerang di pasar minggu di sekitar Gua Musang dan Pahang.

Mohd Saiful berkata, dia mula berniaga sejak tiga tahun lalu selepas tangan kiri terpaksa dipotong sehingga paras bahu akibat jangkitan kuman.

“Pada mulanya saya keberatan kerana bimbang tidak dapat bekerja namun atas nasihat doktor dan untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius, saya akur.

“Pada mulanya dengan hanya menggunakan sebelah tangan memang sukar namun lama-kelamaan saya dapat biasakan diri.

“Kini, saya mampu goreng kuetiau kerang 120 kilogram sehari,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia bersyukur apabila kuetiau mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggan.

“Dengan wang ini saya gunakan untuk menyara keluarga dan menjaga ibu, Mariah Che Soh, 58, yang uzur tanpa mengharap simpati orang lain.

“Saya mahu buktikan, kekurangan yang ada padadiri tidak boleh dijadikan alasan untuk terus berusaha seperti insan normal lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 6:00 AM