HARGA ikan di Pasar Besar, Alor Setar meningkat. FOTO Noorazura Abdul Rahman
HARGA ikan di Pasar Besar, Alor Setar meningkat. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


PERUBAHAN angin monsun timur laut atau dikenali sebagai angin timur di negeri ini menyebabkan harga ikan meningkat sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar, Kedah mendapati harga ikan temenung naik sehingga RM12 sekilogram.

Turut mengalami kenaikan beberapa jenis ikan lain seperti tongkol dan selayang.

Peniaga Khairul Nizam Othman,40, berkata, harga ikan temenung pernah naik sehingga RM16 sekilogram beberapa hari lalu berikutan bekalan ikan itu berkurangan.

“Hari ini turun kepada RM12 sekilogram tetapi masih tinggi kerana sebelum ini ia dijual hanya RM6 sekilogram, selain itu ikan selayang naik kepada RM6 daripada RM3 sekilogram dan ikan tongkol RM13 berbanding hanya RM8 sekilogram.

“Kenaikan ini tidak dapat dielak, saya difahamkan daripada rakan nelayan, mereka sukar menaikkan ikan dalam keadaan angin kuat kerana bimbang bot terbalik dipukul ombak,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, Khairul Nizam berkata, harga ketam turun kepada RM25 berbanding RM35 sekilogram kerana bekalannya semakin banyak.

Peniaga sotong dan kerang dan siput, Mariam Jaafar, 39, berkata, harga kerang besar meningkat daripada RM10 kepada RM13 sekilogram sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, harga sotong besar pula mencecah RM25 sekilogram berbanding hanya RM22 sebelum ini.

“Kami tak pasti bila harga makanan laut ini akan turun, ramai peniaga kekurangan bekalan dan pelanggan terpaksa akur.

“Kami sendiri hanya mengambil untung yang sedikit bagi memastikan pelanggan tidak terlalu terbeban dengan peningkatan harga barang sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 2:06 PM