DR Mahathir Mohamad ketika menghadiri majlis ramah mesra penduduk di Langkawi. FOTO BERNAMA
DR Mahathir Mohamad ketika menghadiri majlis ramah mesra penduduk di Langkawi. FOTO BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan dan Hamzah Osman


PERSEKUTUAN Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dianggap sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sikap Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, Dong Zong ketika itu tidak pula membangkitkan sebarang isu kerana bimbang diambil tindakan dan hanya menyuarakannya apabila dasar ini mahu dilaksanakan kerajaan baru.

“Dong Zong ini rasis, dahulu kita hendak buat Sekolah Wawasan menempatkan sekolah Cina, Tamil dan sekolah kebangsaan dalam satu kampus pun mereka bantah kerana takut anak mereka campur Melayu.

“Banyak dasar berkaitan pendidikan negara mereka bantah dan tidak pernah setuju. Kita sudah buat keputusan (pembelajaran Jawi), jika tidak mahu ambil tak perlulah,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Daging Korban di Masjid Al Huda, Padang Mat Sirat, Langkawi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Dong Zong mengadakan petisyen membantah pembelajaran Jawi dan khat dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaskan, sebelum negara mencapai kemerdekaan, kerajaan mendapati adalah sukar bagi penduduk bukan Melayu belajar di dalam tulisan Jawi, menyebabkan tulisan rumi diperkenal.

“Saya masih ingat ketika negara hendak merdeka, kita dapati bukan Melayu susah hendak belajar dalam Jawi, jadi kerajaan ambil keputusan guna tulisan roman untuk mudahkan mereka.

“Kerajaan beri pertimbangan khusus kepada bukan Melayu dan orang Melayu masih boleh belajar Jawi kerana hendak membaca al-Quran,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendesak agar kuasa Perdana Menteri dihadkan dalam membuat keputusan, Dr Mahathir berkata beliau akan merujuk Charles selepas ini dalam membuat sebarang keputusan.

“Pada masa depan apabila saya hendak buat keputusan, saya akan tanya boleh atau tidak (kepada) Charles.

“Saya dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya,” katanya dalam nada sinis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 7:19 PM