Mat Dan (busana biru) berarak bersama peserta Program Terengganu Bertanjak di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu kelmarin. Foto Ghazali Kori
Mat Dan (busana biru) berarak bersama peserta Program Terengganu Bertanjak di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu kelmarin. Foto Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


“WALAUPUN saya bukan orang Melayu tetapi saya berkahwin dan tinggal di Malaysia, budaya Melayu sudah menjadi seperti budaya saya sendiri,” kata Muhammad Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan.

Duta Pelancongan Terengganu itu yang ditemui di Program Terengganu Bertanjak di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu kelmarin berkata, pertama kali dia menyarung busana Melayu lengkap termasuk bertanjak di program terbabit.

“Saya berasa sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada peserta program yang pertama kali dianjurkan itu.

“Sebelum ini, saya hanya pernah memakai tanjak ketika mengikuti program tetapi pada kali ini saya bertanjak dan memakai busana Melayu yang lengkap.

“Ingatkan panas memakai busana Melayu lengkap itu, rupanya ia sangat selesa malah membuatkan pemakainya berkeyakinan tinggi,” katanya.

Menurutnya, sebaik selesai program berkenaan dia terus membuat tempahan busana Melayu sendiri bagi memudahkannya menggayakan pakaian terbabit pada program akan datang.

“Busana Melayu yang dipakai ini ialah kepunyaan Jabatan Pelancongan dan saya membuat tempahan kerana ingin memiliki busana Melayu sendiri.

“Individu yang mengenakan busana Melayu kelihatan sangat segak dan pemakaian tanjak juga unik serta meyakinkan pemakai,” katanya.

Menurutnya, dia berharap program bertanjak itu dianjurkan secara berterusan bagi memartabatkan semula busana Melayu dikalangan masyarakat yang semakin dilupakan.

“Saya berasal dari England tetapi berasa bangga apabila mengenakan busana Melayu lengkap.

“Oleh itu masyarakat Melayu di negeri ini sepatutnya lebih menghargai budaya dan warisan sendiri.

“Seni persembahan kebudayaan seperti silat dan wayang kulit juga mencuri tumpuan serta sangat saya minati,” katanya.

Pada program itu, seramai 500 penduduk berbusana Melayu dan bertanjak berkumpul serta berarak dari Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) ke Pantai Batu Buruk.

Pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk persembahan seni silat dan nyanyian kumpulan Dendang Anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 3:18 PM