TARMIMI (kiri) memakai tengkolok menyediakan juadah berbuka puasa di Bazar Ramadhan Dataran Syahbandar.
TARMIMI (kiri) memakai tengkolok menyediakan juadah berbuka puasa di Bazar Ramadhan Dataran Syahbandar.
Zarina Abdullah

Kuala Terengganu: Pengunjung bazar Ramadan di Taman Shah Bandar di sini pasti menoleh ke arah gerai makanan diusahakan tiga peniaga kerana dua daripadanya segak bertanjak kain pelikat.

Selain penampilan unik, sifat mudah mesra turut menjadikan gerai mereka sentiasa mendapat sambutan dalam kalangan pengunjung.

Tarmimi Awang, 37, dan Mohammad Ariff Ibrahim, 37, sepakat membawa tema tradisional sepanjang berniaga di gerai yang dinamakan Tarizz Corner di tapak bazar itu sambil dibantu adik Tarmimi, Nur Salmizan, 30.

Tarmimi yang berasal dari Jengka, Pahang berkata, mereka sepakat mencari kelainan dengan memakai tanjak untuk menzahirkan kecintaan terhadap identiti Melayu.

“Kami mahu mengingatkan diri dan masyarakat Melayu supaya menghargai nilai budaya supaya jangan sampai lenyap ditelan zaman,” katanya ketika ditemui di gerai.

Menurutnya, pada awalnya agak janggal menggayakan tanjak, namun lama kelamaan ia menjadi perkara biasa dan tidak betah jika keluar berniaga tanpa bertanjak.

Katanya, lebih mudah apabila tanjak itu direka dan dijahit Mohammad Ariff yang berasal dari Bukit Payong, Marang.

“(Mohammad) Ariff juga bersedia menerima tempahan orang ramai yang mahu menempah tanjak,” katanya.

Gerai Tarizz Corner menyajikan hidangan berbuka puasa seperti Nasi Goreng Elicha, Laksa Penang Combi dan Mee Goreng Tarizz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:51 AM