Zaid Salim

Kuala Terengganu: Lebih 100 penduduk Kampung Pulau Manis, Serada, di sini, berarak sejauh 800 meter sempena sambutan Maulidur Rasul dalam suasana norma baharu, hari ini.

Lengkap berbusana Melayu termasuk tanjak, penduduk pelbagai lapisan masyarakat dan usia bersatu berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sepanjang perarakan bermula dari pekarangan Galeri Makam Tok Ku Pulau Manis dan berakhir di Pusat Rekreasi Kalang Warisan.

Ketua Urusetia Program, Mohamad Che Embong berkata, sambutan Maulidur Rasul itu diadakan pada setiap tahun dengan pengisian pelbagai program sampingan seperti kuliah agama, ceramah dan aktiviti lain bagi meriahkan suasana.

"Sudah menjadi tradisi turun-temurun penduduk kampung ini meraikan Maulidur Rasul sejak dahulu lagi dan disambut mengikut kesesuaian keadaan semasa.

"Tahun ini kami mengadakan kelainan iaitu berarak dengan mengenakan busana Melayu dan bertanjak sambil membawa bunga manggar dan pulut kuning.

"Pulut kuning atau 'nasi semangat' adalah sinonim dengan masyarakat Melayu dalam apa jua majlis dan keraian sejak dahulu lagi," katanya.

Beliau berkata, walaupun perarakan dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19 seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal, ia tidak menjejaskan langkah peserta untuk menjayakan program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 3:08 PM
Penduduk di Kampung Pulau Manis, Serada melakukan perarakan dan berselawat bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. Seramai 100 orang peserta yang lengkap berbusana melayu dan bertanjak  menyertai perarakan tersebut sejauh 200 meter itu bermula yang dari Makam Sheikh Abdul Malek dan berakhir di Kalang Warisan.  FOTO GHAZALI KORI