Asrizal Aris


 

"BUKAN kami pasangan pengantin sahaja, keluarga dan saudara mara juga teruja dengan majlis perkahwinan mengikut adat dan budaya Melayu. Sangat seronok."

Itu kata Carolyn Lee May Choo, 29, pengantin perempuan yang memilih adat Melayu untuk meraikan majlis resepsi bersama pasangannya, Dr Alvin Teoh Kim Meng, 44, di Dewan Singgahsana Pengantin, Seksyen 28, Shah Alam, Sabtu lalu.

Menurut Carolyn, dia dan suaminya sudah memutuskan untuk bersanding mengikut budaya Melayu sejak awal tahun ini sebagai resepsi kedua selepas mengadakan resepsi pertama mengikut adat Cina di Kelantan, bulan lalu.

"Kami ramai rakan karib berbangsa Melayu dan apa salahnya sementara mencari katering untuk makanan halal, kita sekalikan pakej majlis perkahwinan mengikut adat dan budaya Melayu.

"Saya juga dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu dan makanan tradisional Melayu pun sangat sedap. Sebelum ini saya dan suami memang tidak sabar menantikan majlis resepsi kami Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya yang berasal dari Kelantan, bukan sahaja dia dan pasangan, malah ahli keluarga dan saudara mara turut teruja dengan majlis perkahwinan budaya Melayu yang pertama kali mereka lihat di hadapan mata.

"Paling saya teruja adalah persembahan silat yang menggunakan keris betul ketika di pintu masuk dan di hadapan pelamin. Sebelum ini hanya tonton video sahaja.

"Keluarga serta tetamu yang berbilang bangsa juga kelihatan seronok dengan persembahan tarian dan makanan yang dihidangkan mengikut adat Melayu," katanya yang juga penjawat awam.

Suaminya, Alvin, berkata, sejak awal dia sudah teruja untuk mengenakan busana Melayu bagi majlis resepsi perkahwinan mereka di Shah Alam untuk menjemput rakan-rakannya di ibu negara. 

Katanya, dia kagum dengan persembahan pakaian pengantin lelaki Melayu yang lengkap bertanjak dan memiliki keris umpama seorang pahlawan.

"Selepas memakai pakaian pengantin adat Melayu ini saya rasa gagah. Memang sesuai orang cakap pengantin bagaikan Raja Sehari," katanya.

Menurutnya yang menjalinkan hubungan dengan Carolyn selama empat tahun, mereka akan mengadakan resepsi ketiga di Ipoh Disember ini mengikut tradisi dan adat Cina.

Pada majlis Sabtu lalu, semua persediaan serta kelengkapan majlis mengikut adat dan budaya Melayu secara keseluruhan yang dikendalikan oleh Ani Catering and Wedding Planner.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:17 PM
 Alvin dan Carolyn ketika majlis resepsi di Seksyen 28, Shah Alam, Sabtu lalu. FOTO ihsan Buletin TV3
Alvin dan Carolyn ketika majlis resepsi di Seksyen 28, Shah Alam, Sabtu lalu. FOTO ihsan Buletin TV3