Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ENAM warga Nigeria termasuk seorang wanita bertindak kejam terhadap rakan senegaranya apabila menculik dan mengurung lelaki berkenaan di sebuah hotel di Bandar Mahkota Cheras kerana tidak berpuas apabila wang penipuan (scam) yang diperolehi tidak diterima mereka.

Mangsa berusia 32 tahun itu dikatakan menerima wang sebanyak USD49,000 (RM206,000) hasil kegiatan Love Scam yang dijalankan kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak menyerahkan hasil yang diterima itu sebelum diculik rakannya pada 24 Ogos lalu dan dikurung di sebuah hotel.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mangsa dan suspek adalah warga Nigeria dan masuk ke negara ini sebagai pelancong.

“Kesemua mereka itu dipercayai menjalankan aktiviti Love Scam di luar negara sebelum berlaku tidak puas hati antara mereka.

“Mangsa didakwa tidak menyerahkan bahagian milik rakannya menyebabkan enam individu berkenaan menculik mangsa di Taman Bolton,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.

Samsor berkata, kejadian itu disedari oleh seorang lagi rakan mangsa yang kemudian melaporkan kepada polis.

“Susulan itu, pada 26 Ogos lalu berdasarkan maklumat risikan, sepasukan polis menyerbu sebuah hotel di Bandar Mahkota Cheras dan berjaya menyelamatkan mangsa.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai suspek turut ditahan.

“Susulan tangkapan itu polis kemudian menahan dua lagi lelaki di sekitar Selayang,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City dan enam telefon pintar milik suspek.

“Kesemua individu berusia 21 hingga 35 tahun termasuk mangsa ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 6:26 PM