Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Mengaku profesor di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Melaka demi mengaburi aktiviti penipuan Love Scam, Parcel Scam dan pengedaran dadah dilakukan.

Itu taktik seorang daripada enam anggota sindiket warga Nigeria yang ditumpaskan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis (IPK) negeri, semalam.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, bertindak atas maklumat awam satu operasi khas dan terancang dijalankan sepasukan polis unit risikan dan operasi JSJK dengan menyerbu tiga unit pangsapuri di Taman Bukit Beruang dan sebuah rumah di Taman Bukit Melaka di Ayer Keroh di sini.

Katanya, orang awam curiga melihat kehadiran serta tingkah laku suspek.

"Menerusi serbuan antara jam 5 hingga 10 pagi itu polis berjaya menahan dua wanita dan empat lelaki warga Nigeria berusia 23 hingga 44 tahun.

"Siasatan awal mendapati semua suspek memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan aktif dalam sindiket Love Scam dan Parcel Scam sejak enam bulan lalu.

"Sindiket ini dipercayai didalangi seorang lelaki Nigeria berusia 44 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai profesor kepada penduduk di kawasan pangsapuri didiaminya bagi mengaburi aktiviti dijalankan," katanya.

RAZALI (kiri) menunjukkan gambar saspek yang ditahan semasa serbuan dibuat dirumah saspek ketika sidang media kejayaan menumpaskan sindiket Love Scam, Parcel Scam dan pengedaran dadah melibatkan warganegara asing di IPK Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
RAZALI (kiri) menunjukkan gambar saspek yang ditahan semasa serbuan dibuat dirumah saspek ketika sidang media kejayaan menumpaskan sindiket Love Scam, Parcel Scam dan pengedaran dadah melibatkan warganegara asing di IPK Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, sindiket sedang menjalankan aktiviti penipuan Love Scam dan Parcel Scam menggunakan komputer riba serta telefon bimbit.

Menurutnya, antara modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menggunakan gambar samaran lelaki berkulit putih bagi menarik minat golongan wanita untuk berbual sekali gus memperdaya mereka dengan menawarkan cinta dan bungkusan yang akan dihantar kepada mangsa.

Katanya, polis turut menemui buku mengandungi skrip yang ditulis dan akan digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa mereka selain pemacu pena, enam laptop, 12 telefon bimbit, lima modem wifi dan tujuh dokumen disyaki palsu dipercayai digunakan sindiket dalam aktiviti itu.

Razali berkata sindiket berkenaan juga disyaki terbabit dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah selepas polis menjumpai satu ketul mampat dadah dipercayai ganja seberat 600 gram (g), satu paket dadah dipercayai ketamin (2.6g) dan satu paket dadah dipercayai ganja (34.73g) dalam serbuan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 6:15 PM