MAYAT lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Polis
MAYAT lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


LELAKI ditemui maut dipercayai akibat terlebih dos dadah di padang berhampiran taman permainan sebuah kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan di Bayan Baru, Bayan Lepas, semalam.

Dalam kejadian 11.40 pagi itu, lelaki berusia 55 tahun berkenaan pada mulanya dilihat orang awam dalam keadaan tertiarap serta masih bernafas.

Orang awam menghubungi ambulans sebelum lelaki berkenaan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat, sebelum dihantar

Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber berkata, polis kemudian mengambil keterangan daripada adik perempuan lelaki terbabit dan dia memberitahu abangnya itu masih bujang dan bekerja di bengkel besi milik saudara mereka.

“Adiknya juga mendakwa lelaki terbabit adalah penagih dadah sejak belasan tahun dan dia tinggal seorang diri di rumah setinggan berhampiran.

“Polis yang membuat pemeriksaan di rumah mangsa juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan meninggal dunia akibat kesan penyalahgunaan dadah.

“Laporan bedah siasat mendapati lelaki terbabit juga menghidap hepatitis C dan kematiannya juga dipercayai akibat terlebih dos.

“Selain itu, semakan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai enam rekod lampau bersabit kes dadah dan satu rekod jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 2:43 PM