SEBUAH bas telah hilang kawalan dan menyebabkan seorang penunggang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan empat lampu isyarat Setia Triangle Bayan Lepas, jam 6.30 petang tadi. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
SEBUAH bas telah hilang kawalan dan menyebabkan seorang penunggang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan empat lampu isyarat Setia Triangle Bayan Lepas, jam 6.30 petang tadi. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


PEMANDU bas yang merempuh motosikal hingga menyebabkan seorang pelajar maut, semalam, direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Ahmad Tajuddin terhadap lelaki berusia 49 tahun terbabit di Mahkamah Majistret, di Balik Pulau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagn berkata, hasil ujian saringan awal juga mendapati pemandu berusia 49 tahun itu positif methamphetamine.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang, semalam seorang pelajar lelaki maut selepas dirempuh bas di Jalan Dato Ismail Hasyim di Bayan Lepas.

Mangsa, Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara yang juga bekerja separuh masa di sebuah restoran makanan segera itu dalam perjalanan menghantar pesanan kepada pelanggan.

Jenazah Muhammad Saifullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Mustaghfirin, Sungai Tiram, Bayan Lepas, 11 pagi, hari ini.

Berita berkaitan

Maut dirempuh bas [METROTV]

[UPDATE] Mangsa maut adalah pelajar, penghantar makanan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 2:12 PM