LOKASI penemuan mayat mangsa. (Gambar kecil) Nota tertera alamat rumah. FOTO Ihsan Polis
LOKASI penemuan mayat mangsa. (Gambar kecil) Nota tertera alamat rumah. FOTO Ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


LELAKI maut akibat terhempas atas batu selepas terjun di Kilometer 5.4 Jambatan Pulau Pinang menghala Georgetown, malam tadi.

Dalam kejadian 10.35 malam itu, lelaki berusia 54 tahun itu meninggal dunia di lokasi akibat parah di seluruh badan.

Mayatnya ditemui tertiarap di celah batu dengan kesan kecederaan di kaki kanan, siku kiri, dahi kanan dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki itu meninggalkan Proton Waja miliknya di tepi jambatan sebelum terjun.

“Pemeriksaan lanjut dalam kereta menemui sekeping kertas yang tertera alamat rumah dan juga nombor telefon bimbit abang serta adiknya.

“Kita juga turut memanggil dua pegawai di tempat kerjanya untuk membuat pengecaman mayat,” katanya.

Menurutnya, hasil keterangan lanjut daripada pegawai terbabit, mereka memberitahu yang si mati adalah seorang sarjan di penjara serta sudah berkahwin dan mempunyai empat anak.

“Mereka juga mendakwa yang lelaki terbabit sebelum ini ada mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani, Selasa, lalu serta di beri cuti sakit selama sehari.

“Si mati juga memaklumkan kepada mereka yang dia menghidap gastrik dan sukar tidur malam,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati dia terjun pada ketinggian 70 meter dari atas jambatan dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian

“Setakat ini, kita dapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 10:30 AM