GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosli Ilham


SEORANG lelaki sengaja menggunakan nombor pendaftaran kereta bekas isterinya semata-mata mahu mengelak daripada keretanya ditarik bank.

Bagaimanapun, niat jahatnya akhirnya dibalas dengan hukuman denda RM5,300 oleh Mahkamah Majistret, Dungun, hari ini, mengikut Seksyen 108 (3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ia susulan laporan dibuat bekas isterinya selepas mendapati terdapat tunggakan saman yang menyebabkan dia gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa berusia 38 tahun yang tinggal di Kajang, Selangor dimaklumkan kereta jenis Perodua Kancil miliknya mempunyai saman lampau bertarikh 11 Jun 2019.

“Semakan mendapati saman itu membabitkan kesalahan lampu brek ketiga tidak bernyala yang dikeluarkan di Dungun.

“Mangsa menafikan melakukan kesalahan itu dan mendakwa tidak pernah ke Dungun. Dia membuat laporan polis di Bandar Baru Bangi kerana mengesyaki bekas suaminya menyalahgunakan nombor kereta itu.

“Suspek yang berusia 46 tahun mempunyai kereta jenis sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharudin berkata, suspek berjaya ditahan selepas pasukannya melakukan pemantauan di Kampung Pulau Serai, Dungun dan menemui kereta dengan nombor pendaftaran sama.

Katanya, semakan terhadap nombor chasis kenderaan itu mendapati ia berlainan dengan daftar asal, sebelum suspek mengaku menggunakan nombor pendaftaran lain untuk mengelak dikesan bank kerana ada tunggakan pinjaman.

“Suspek dituduh di Mahkamah Majistret Dungun hari ini dan dijatuhkan hukuman denda RM5,300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 6:24 PM