Hishamuddin (kiri) dan Mahdzir ketika hadir perasmian berkelompok Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sembrong. FOTO Adnan Ibrahim
Hishamuddin (kiri) dan Mahdzir ketika hadir perasmian berkelompok Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sembrong. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


AHLI Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pertemuan beliau dan sekumpulan wakil rakyat pembangkang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang unik.

Beliau berkata, apa yang penting, perjumpaan itu bertujuan memikirkan masa depan negara dan rakyat terutamanya dalam usaha mengukuhkan ekonomi dan perpaduan.

“Tiada sebab pihak pembangkang tidak boleh berjumpa dengan pemimpin kerajaan.

“Dalam keadaan seperti ini, elakkan daripada sensasikan sesuatu isu kerana ia hanya menimbulkan spekulasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian berkelompok Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sembrong yang disempurnakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid di Taman Sri Lambak hari ini.

Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata, beliau sememangnya tidak melayan sebarang provokasi, spekulasi dan konspirasi sejak dari dulu kerana ia tidak berkesudahan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan perjumpaan itu sebagai isu hingga ia menjadi spekulasi.

“Ini kerana perbuatan itu tidak membawa sebarang kebaikan untuk masa depan negara.

“Saya percaya, bila sampai masanya, kalau ada apa-apa hendak umum, pasti kita umumkan.

“Jangan mengizinkan pihak tertentu mewujudkan provokasi dan jangan ada tuduhan konspirasi.

“Kerana bagi pihak saya, apa jua perjumpaan yang saya hadir adalah untuk kebaikan tanah air dan rakyat.

“Kalau itu pegangan kita, tiada siapa boleh menidakkan keinginan kita melihat ke depan secara konstruktif,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang dari UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertemu beliau pada Selasa.

“Mereka datang hendak jumpa saya, saya jumpalah mereka, saya dengar apa yang hendak mereka katakan.

“Ya, ramai daripada mereka menyatakan sokongan kepada saya, terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, sokongan untuk beliau mengekalkan jawatan bukan perkara baru kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap mengenainya sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 4:01 PM