AHMAD  Nazlan (dua dari kanan) bertanya khabar  Nurul Aira Wani Nazira yang baru pulang menerima rawatan di Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD Nazlan (dua dari kanan) bertanya khabar Nurul Aira Wani Nazira yang baru pulang menerima rawatan di Kuala Lumpur, semalam.
Roselan Ab Malek


SELEPAS kisahnya disiarkan media sebulan lalu ekoran masalah kegemukan dihadapi, kini Nurul Aira Wani Nazira Ibrahim, 22, boleh menarik nafas lega apabila berat badannya menunjukkan penurunan.

Beratnya sebelum ini pernah mencatat 220 kilogram (kg) menurun 26kg kepada 194kg selepas mengikuti segala pelan pemakanan dicadangkan pakar.

Nurul Aira Wani Nazira berterima kasih kepada kumpulan pakar pemakanan diperkenalkan usahawan tempatan yang merawat dan memberikan nasihat kepadanya berkaitan diet dan pemakanan.

Katanya, program rawatan selama empat hari yang dilaluinya minggu lalu di Kuala Lumpur banyak membantu dia menurunkan berat badan dan mula menampakkan kesan selepas mengikuti arahan pakar pemakanan itu.

“Saya diberi makan ubat pecah lemak selain perlu mengawal pemakanan. Makanan yang berminyak dan manis dikurangkan dan nasi diberi dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.

Kisah Nurul Aira Wani Nazira mula mendapat perhatian seorang usahawan yang datang melihat keadaannya sebelum berjanji membantunya menurunkan berat badan dengan membawanya berjumpa pakar pemakanan.

Masalah kegemukan dihadapi Nurul Aira Wani Nazira membuatkan pergerakannya menjadi terbatas malah terpaksa tidur secara bersandar di dinding rumah serta perlu berguling untuk ke bilik air.

Menurut abangnya Ahmad Tajudin, 38, seminggu selepas lawatan usahawan itu ke rumah mereka di Felda Sungai Retang di sini, jutawan kosmetik itu menghantar wakil membawa adiknya menerima rawatan di Kuala Lumpur sambil ditemani ibu mereka Johra Mohd Ali, 63.

Katanya, adiknya kini mengikuti program diet diatur sebelum ke Kuala Lumpur 12 Ogos depan bagi mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris ketika melawat Nurul Aira Wani Nazira memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat supaya wanita itu menurunkan berat badannya.

Beliau meminta gadis itu mengikut segala nasihat doktor dan pakar pemakanan sekali gus menjalani kehidupan seperti wanita lain.

Dalam masa sama, Ahmad Nazlan memberi peruntukan kewangan kepada keluarga itu untuk membaiki dapur dan bilik air rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 6:00 AM