NURUL Aira yang mempunyai berat lebih 220kg tidak boleh bergerak dan hanya mampu duduk sahaja di ruang tamu rumah.
NURUL Aira yang mempunyai berat lebih 220kg tidak boleh bergerak dan hanya mampu duduk sahaja di ruang tamu rumah.
Roselan Ab Malek


JERANTUT: Memiliki berat badan dianggarkan hampir 220 kilogram (kg) bukan setakat membataskan pergerakan Nurul Aira Wani Nazira Ibrahim, 22, malah dia terpaksa tidur dalam keadaan duduk.

Masalah mula dialami Nurul Aira, sejak lima tahun lalu itu juga menyebabkan dia terpaksa melakukan aktiviti harian lain seperti mandi dalam keadaan duduk kerana tidak berdaya untuk bergerak.

Katanya, ketika zaman persekolahan berat badannya sekitar 120 kg dan masih mampu melakukan pelbagai aktiviti.

“Saya sudah lali dengan ejekan rakan ketika di sekolah, mereka memanggil saya dengan pelbagai gelaran namun saya tidak peduli dengan semua itu.

“Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya banyak menghabiskan masa di rumah dan membantu ibu.

“Sejak itu berat badan saya naik mendadak meskipun saya cuba mengawal pemakanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Sungai Retang, semalam.

Berikutan masalah kegemukan melampau Nurul Aira, kini lebih banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.

“Kini saya tidak mampu bergerak, nak bangun pun sukar kerana tidak berdaya untuk mengangkat badan sendiri. Malah jika hendak tidur pun saya terpaksa menyandar pada dinding rumah,” katanya.

Sementara itu ibunya, Johra Mohd Ali, 63, berkata, dia sudah melakukan pelbagai cara untuk membantu anak bongsu dari tujuh beradik itu menurunkan berat badan namun tidak berjaya.

“Saya kasihankan pada Nurul Aira kerana setiap kali hendak mandi dia terpaksa menggulingkan badan untuk ke bilik air.

“Kemudian saya mandikan dia dan selepas selesai Nurul Aira sekali lagi perlu menggulingkan badan untuk ke tempat duduknya di ruang tamu,” katanya.

Manakala abangnya, Ahmad Tajudin, 38, berkata, ada rakan yang mencadangkan Nurul Aira menjalani rawatan Hospital Jerantut.

“Memang mahu hantar adik ke sana tapi saya buntu memikirkan cara untuk bawa dia ke hospital. Saya tidak berdaya untuk angkat adik.

“Saya berharap ada orang yang dapat membantu menyelesaikan masalah adik, kerana saya kasihan melihat dia tidak dapat menikmati kehidupan seperti rakannya yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 6:00 AM