FADHLINA kini tampil lebih yakin.
FADHLINA kini tampil lebih yakin.
FADHLINA (dua dari kiri) bersama Azelan Ishak (dua dari kanan), Syaza Nadhirah Ahmad Sabri (kiri) dan Nur ‘Izzan Fariha Ahmad Sabri (kanan).
FADHLINA (dua dari kiri) bersama Azelan Ishak (dua dari kanan), Syaza Nadhirah Ahmad Sabri (kiri) dan Nur ‘Izzan Fariha Ahmad Sabri (kanan).
FADHLINA menerima  sijil jurulatih metafit.
FADHLINA menerima sijil jurulatih metafit.
FADHLINA ketika berat mencapai 100kg.
FADHLINA ketika berat mencapai 100kg.
FADHLINA (kiri) bersama sebahagian rakan giat membantu orang ramai mendapatkan kesihatan unggul.
FADHLINA (kiri) bersama sebahagian rakan giat membantu orang ramai mendapatkan kesihatan unggul.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Gelaran boyot, boroi, gergasi, kuat makan atau pelbagai jolokan lain yang ditujukan untuk orang berbadan besar atau mereka yang mengalami obesiti mungkin pada dasarnya dianggap sebagai gurauan.

Namun, bagi mereka yang menerima ejekan atau gelaran seperti itu pasti memendam rasa malah pada satu tahap ia menjadi tekanan perasaan hingga golongan ini mengalami kemurungan dan rendah keyakinan diri.

Ada yang menerimanya dengan positif dan berusaha mengubah diri untuk tampil sihat, langsing dan cergas namun yang tidak dapat menerima ejekan seperti itu mungkin akan terus tertekan serta meneruskan amalan hidup tidak sihat menyebabkan berat badan semakin bertambah.

Pernah melalui detik hitam menjadi bahan ejekan dan sering dimalukan dek keadaan fizikalnya, Siti Fadhlina Halipah nekad mahu mengubah gaya hidup dengan diet yang betul hingga berjaya mengurangkan lebih 32 kilogram (kg) berat badan.

Sejak itu, hidup wanita berusia 26 tahun itu berubah 360 darjah dan dirinya mampu tersenyum puas selepas segala usaha dan azamnya membuahkan hasil yang tidak pernah sekali pun diimpikannya.

Jika dulu dia diberi pelbagai gelaran memalukan kerana fizikalnya, Fadhlina kini mampu menamatkan larian maraton serta pelbagai aktiviti fizikal yang tidak pernah dicubanya seperti memanjat gunung dan menjadi jurulatih metafit.

“Saya memang gemuk sejak kecil dan apabila melanjutkan pengajian di universiti berat badan terus bertambah dan mencecah lebih 100kg. Bukan tidak mahu cuba kuruskan badan, tapi saya sering terkandas kerana mengikut diet yang salah.

“Ibu dan ayah saya tidak jemu memberi sokongan. Pernah saya menangis selepas diejek dengan perkataan yang memalukan dan ayah saya menegaskan, kalau tidak mahu menangis lagi, saya perlu berubah.

“Sejak itu, saya mengikut seorang rakan yang menunjukkan cara betul untuk berdiet dengan selamat. Lebih menarik, sangkaan saya nasi perlu dielak untuk menurunkan berat badan ternyata tidak benar, sebaliknya saya mengamalkan diet dengan makan nasi,” katanya.

Fadhlina berkata, perjalanan mengubah cara hidup yang lebih sihat bukan semudah yang disangka namun berkat kecekalan dan azamnya dia kini tampil langsing dan cergas malah bersama beberapa rakan mereka menubuhkan studio kecergasan sendiri, Oh My Club Studio di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, dia dan kumpulannya juga giat memberi panduan dan melatih mereka yang mahu menurunkan berat badan dengan cara sihat dan menyeronokkan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Biomedik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini juga aktif di media sosial untuk memberikan tip dan panduan untuk pengikutnya dalam menjalani gaya hidup sihat.

Tidak lokek berkongsi ilmu, Fadhlina menjadikan Facebooknya sebagai medan untuk berinteraksi dengan orang ramai mengenai pemakanan sihat serta berkongsi resipi hidangan untuk menurunkan berat badan.

“Cara saya berdiet tidak melihat kandungan kalori 100 peratus sebaliknya saya melihat kalori dan nutrisi setiap makanan. Contohnya, nutrisi 100 kalori biskut tidak sama dengan nutrisi 100 kalori epal.

“Nutrisi semangkuk mi kari berbeza dan tidak sama dengan nutrisi segenggam nasi dan satu jenis lauk. Kalori hampir sama, tapi nilai nutrisinya berbeza.

“Begitu juga sesetengah orang tidak mahu makan nasi kononnya hendak menjimatkan kalori kerana hendak makan sepotong kek. Cara ini tidak membantu untuk menurunkan berat badan,” katanya.

Cipta resipi sihat

Fadhlina berkata, dia bertuah kerana ibunya sanggup menyediakan hidangan dan mencipta resipi yang lazat tapi masih boleh dimakan untuk menurunkan berat badan.

Jika enam tahun lalu seluruh keluarganya mengamalkan diet tidak sihat, kini mereka mengikut jejak langkahnya untuk makan menu seimbang dan menyihatkan.

Fadhlina juga kini giat mendidik orang ramai mengenai pemilihan sihat dalam makanan dan melahirkan 18 resipi hidangan yang diamalkannya sehingga mendapat berat badan ideal.

“Ketika awal proses menurunkan badan, saya tidak melakukan senaman berat atas nasihat doktor kerana terlalu berat dan bergantung sepenuhnya kepada perubahan pemakanan.

“Hanya ketika berat badan saya turun sebanyak 28kg, saya baru mula melakukan senaman kardio. Apabila berat menurun banyak aktiviti yang saya mampu lakukan,” katanya.

Dia selalu menekankan kepada pelatih yang mengikuti program menurunkan berat badannya bahawa senaman hanya merangkumi 30 peratus daripada gaya hidup sihat, selebihnya 70 peratus pemakanan yang sihat dan seimbang.

Bagi menggalakkan lebih ramai mengamalkan gaya hidup sihat, Fadhlina bersama rakan yang turut berjuang dengan masalah obesiti sebelum ini turut mengadakan projek komuniti untuk penduduk sekitar Bangi di Taman Tasik Cempaka.

Melalui program itu, beberapa jurulatih mengetuai aktiviti kecergasan setiap pagi bermula 8.15 pagi hingga 9.15 pagi secara terbuka untuk orang ramai.

Selain itu Fadhlina dan beberapa jurulatih wanita menubuhkan projek panduan senaman di rumah secara langsung atau Home Workout Project

Live (HWPL) khas untuk wanita yang mencari peluang untuk bersenam tapi ketiadaan masa untuk melakukan senaman di rumah.

Untuk mendapatkan maklumat dan tip menurunkan berat badan, Fadhlina boleh dihubungi menerusi Facebook Coach Ina Fitlife.

Berikut tip amalan Fadhlina dalam misi menurunkan berat badan:

1. Diet dengan ilmu.

2. Ada matlamat dan sasaran. Contohnya jika hendak menurunkan 30kg, jangan terus sasarkan jumlah itu, sebaliknya cuba turunkan tiga hingga empat kilogram sebulan. Lakukan berulang kali, konsisten dan disiplin.

3. Perlu ada rancangan hidangan yang lengkap dengan keperluan makronutrien dan mikronutrien yang diperlukan badan. Turun berat tanpa perlu berlapar.

4. Rasa seronok dengan rancangan hidangan, jangan tertekan dan diet perlu warna-warni.

5. Konsep nasi segenggam. Pilih lauk sama ada ikan atau ayam yang dikukus, direbus atau dipanggang. Pemilihan lauk sangat penting.

6. Elak minum air manis, lebihkan air kosong serta buah.

7. Makan sedikit tapi kerap, seeloknya enam kali sehari dengan selangan tiga ke empat jam.

8. Jangan tertipu dengan pembungkusan atau iklan makanan. Baca nutrisi pada label terlebih dulu.

9. Fokus kepada 80 peratus pemakanan, 20 peratus senaman dan 100 peratus minda. Kita gemuk dengan makan, jadi hendak turun berat, seharusnya betulkan cara pemakanan.

11. Jangan bandingkan diri dengan orang lain. Setiap orang berbeza dan unik.

12. Carilah kawan atau komuniti yang ada misi yang sama, baru rasa bersemangat.

13. Tidur awal dan dapatkan tidur yang berkualiti.

14. Kawal emosi. Tekanan juga memberi kesan kepada badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 1:17 PM