JANGAN putus asa jika gagal mencapai azam turun berat badan.
JANGAN putus asa jika gagal mencapai azam turun berat badan.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


TAHUN berganti tahun, tetapi berat badan Raina Ahmad, 38, masih tidak turun dan azam untuk kurus yang ditetapkan sejak 2020 belum tercapai.

Pastinya setiap kali tahun baharu, resolusi sama diulang semula walaupun tanpa perubahan. Ada kalanya dia berasa berputus asa dengan diri sendiri.

Raina berkata, berat badannya mula naik mendadak daripada 60 kilogram (kg) kepada 80kg sejak 2020 yang berpunca daripada sikapnya tidak menjaga pemakanan.

"Saya pernah cuba diet untuk turunkan berat badan bagi mendapatkan berat badan ideal, tetapi usaha ini hanya bertahan sebulan. Kemudian kembali ke tabiat asal dan perkara itu berulang setiap tahun.

"Ini disebabkan saya sukar mengawal diri daripada 'godaan' makanan lazat.

"Ditambah pula rakan di pejabat gemar mengajak untuk cuba kedai makanan baharu selepas waktu pejabat," katanya.

Katanya, sebagai seorang pemburu makanan, dia agak sukar menolak ajakan itu.

"Masalah berat badan turut disumbang gangguan hormon yang saya alami sejak beberapa tahun lalu.

"Gangguan hormon ini juga menyebabkan saya selalu 'craving' makanan manis seperti dessert," katanya.

Ketua Perkhidmatan Dietetik dan Diet KPJ Puteri Specialist Hospital, Nur Hafizah Abdul Hadi berkata, sekiranya individu masih gagal mencapai azam tahun sebelumnya untuk menurunkan berat badan, terlalu awal untuk berputus tanpa mengetahui punca kegagalan itu.

PEMAKANAN dan senaman saling berkait rapat dalam menurunkan berat badan.
PEMAKANAN dan senaman saling berkait rapat dalam menurunkan berat badan.

Menurutnya, lima punca utama dikenal pasti menyebabkan diet seseorang itu gagal. Pertama kerap meninggalkan atau melangkau waktu makan.

"Ini kesalahan paling kerap dilakukan mereka yang cuba untuk menurunkan berat badan. Ramai sangka lebih kerap tidak makan akan memudahkan penurunan berat badan kerana kuantiti pengambilan makanan sedikit.

"Mengikut pemerhatian peribadi, ramai melangkau waktu makan sarapan pagi atau makan tengah hari. Ini amalan salah kerana akan menyebabkan kadar metabolism seseorang menurun dan membuatkan seseorang lebih susah untuk menurunkan berat badan.

"Elak melangkau waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Sebaiknya, tambahlagi waktu untuk snek sihat di antara waktu makan utama bagi mengoptimakan lagi kadar metabolisme," katanya.

Katanya, punca kedua pengambilan protein dan serat tidak mencukupi. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati hampir 95 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mengambil serat secukupnya.

Jelasnya, bagi mencukupkan keperluan serat seharian, seseorang itu perlu mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran lima hidangan setiap hari.

"Serat tidak mencukupi dalam diet seharian menjadikan seseorang itu lebih cepat lapar. Perlu diingat, selain daripada kesan buruk di atas, kekurangan serat untuk jangka masa panjang akan menjadikan kita berisiko mendapat sakit jantung, barah (termasuk barah usus), kencing manis, sindrom usus rengsa (IBS) dan sembelit.

"Manakala pengambilan protein tidak mencukupi menjadikan kita kehilangan lemak dan kehilangan otot. Apabila otot hilang, kadar metabolisme turut menurun, badan menjadi lebih lemah dan kadar imuniti badan menurun," katanya.

Nur Hafizah berkata, faktor ketiga ialah bergantung kepada satu jenis diet sahaja. Perlu diingat bahawa tiada istilah 'one diet-fits-all.'

Contoh, jika individu A berjaya turunkan badan dengan mengikut jenis diet A, maka tidak semestinya individu B akan berjaya menurunkan berat dengan jenis sama.

"Tidak semua diet sesuai dengan setiap individu. Ada yang berjaya menurunkan berat badan mengikut diet puasa bersela atau 'intermittent fasting,' ada pula yang berjaya dengan diet makanan sihat 'eat clean'.

"Namun diet paling selamat dilakukan ialah diet Suku-Suku Separuh seperti dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Diet ini mengawal jumlah makanan dan dalam masa sama memastikan badan mendapat keperluan makro dan mikro nutrien mencukupi.

"Usah ikut diet yang tidak dapat dipastikan keselamatan terhadap tubuh untuk jangka masa panjang," katanya.

Katanya lagi, faktor seterusnya ialah tidak cukup tidur atau tidur tidak berkualiti. Tindakan ini mungkin menyukarkan usaha mendapatkan berat badan ideal.

"Tidur tidak mencukupi menyebabkan peningkatan hormon ghrelin (hormon lapar) yang bertanggungjawab untuk meregulasi selera makan seterusnya mengakibatkan selera makan semakin meningkat.

"Secara spesifik, peningkatan hormon ghrelin ini juga mengakibatkan kecenderungan mengambil makanan tinggi dengan karbohidrat.

"Selain itu, kekerapan tidur lewat menggalakkan kita makan lewat malam dan tabiat pemakanan tidak sihat,"

katanya.

Nur Hafizah berkata, foktor kelima terlalu fokus kepada diet atau senaman semata-mata. Ada sesetengah individu memilih berdiet sahaja dalam usaha menurunkan berat badan.

Malah katanya, ada individu hanya mahu bersenam tanpa menjaga pemakanan mereka. Usaha mendapatkan berat badan ideal mungkin berkesan, namun cara ini tidak efektif seperti disangka.

"Ini kerana formula menurunkan berat badan bergantung kepada 80 peratus diet dan pemakanan serta 20 peratus daripada senaman. Kedua pemakanan dan senaman saling berkait rapat.

"Jika hanya menitik beratkan pemakanan sahaja tanpa senaman, mungkin lebih mudah kehilangan otot di samping kehilangan lemak. Seperti dijelaskan sebelum ini, kehilangan otot akan menyebabkan kadar metabolisme semakin menurun dan dalam sela masa tertentu, berat badan statik.

"Sekiranya hanya mahu melakukan senaman tanpa mempedulikan pemakanan, kebarangkalian untuk mengambil makanan tinggi kalori lebih besar bagi menggantikan kalori yang dibakar ketika melakukan senaman.

"Ini sama ada akan menjadikan berat badan semakin bertambah atau tiada penurunan berat badan," katanya.

Tambahnya, gagal sekali untuk menurunkan berat badan bukan bermaksud gagal selamanya. Paling penting ialah motivasi pada tahap optima, di samping usaha yang konsisten dan berterusan.

"Perlu diingat, penurunan berat badan bukan satu sasaran semata-mata, malah ia satu perjalanan menyeronokkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 7:00 AM