ISMAIL, jemaah haji kedua Malaysia meninggal dunia ketika menunaikan haji di Makkah. FOTO Ihsan Pembaca
ISMAIL, jemaah haji kedua Malaysia meninggal dunia ketika menunaikan haji di Makkah. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

ISMAIL Yaacob, 67, jemaah haji dari Cherang Ruku, Kelantan, meninggal dunia di Hospital King Faisal di Makkah, petang semalam, akibat kegagalan jantung dan paru-paru berpunca serangan jantung.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata Ismail, jemaah haji kedua Malaysia meninggal dunia, dimasukkan ke klinik kecemasan di penginapannya di Maktab 84, bangunan Land Premium di Makkah, bagi mendapatkan rawatan selepas pengsan di biliknya.

“Klinik kesihatan cuba melakukan resusitasi sebelum dibawa ke Hospital King Faisal dan Allahyarham meninggal dunia pada 6 petang semalam.

“Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram dan selamat dikebumikan di Makkah pada 5.30 pagi tadi,” katanya pada sidang media di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di Makkah, hari ini.

Jumaat lalu, Amil Abdullah, 63, dari Johor Bahru, Johor, jemaah haji pertama Malaysia meninggal dunia di Hospital King Faisal, akibat jangkitan kuman dalam darah yang mengakibatkan kegagalan fungsi badannya.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadat haji dengan 16,680 orang sudah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas TH.

Dr Mohammad Faid berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail dan TH akan melakukan badal haji secara percuma untuk Allahyarham.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:47 PM