DR Mohammad Faid  (tengah) berbual dengan   pesakit yang dirawat di Pusat Rawatan Syisyah sambil diperhatikan   Dr Amin  (kiri) dan doktor bertugas.
DR Mohammad Faid (tengah) berbual dengan pesakit yang dirawat di Pusat Rawatan Syisyah sambil diperhatikan Dr Amin (kiri) dan doktor bertugas.
Nasharuddin Muhammad


Makkah: Bagi memastikan jemaah mendapat perkhidmatan kesihatan dan rawatan terbaik di Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji (TH) membawa 275 anggota petugas perubatan pada musim haji tahun ini.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata, pasukan itu dianggotai 18 doktor pakar, pegawai perubatan (40), penolong pegawai perubatan (63), jururawat (66), doktor gigi (satu), pakar pemakanan (dua) selain anggota sokongan perubatan.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai tiga pusat rawatan iaitu dua di Makkah dan satu di Madinah yang mempunyai keseluruhan 268 katil.

Menurutnya, pihaknya juga mempunyai klinik di setiap maktab penginapan di Makkah, manakala di Madinah, klinik disediakan di setiap zon bangunan penginapan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mempunyai pasukan perubatan bergerak di terminal lapangan terbang di Jeddah dan Madinah serta hentian rehat bas di Jumum dalam perjalanan antara Madinah dan Makkah.

Menurutnya, bagi kes jemaah yang tidak boleh dirawat di pusat rawatan disediakan, mereka dirujuk ke hospital Arab Saudi terutama kes kritikal dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, pihaknya turut melawat jemaah yang dirujuk ke hospital Arab Saudi bagi memantau tahap kesihatan mereka.

“Kita juga mengenal pasti jemaah berisiko dan ketika wukuf, pasukan petugas perubatan ditempatkan bersama mereka.

“Kita juga memberikan pendidikan kesihatan kepada jemaah dengan mengedarkan risalah terutama berkaitan langkah pencegahan strok haba dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Pusat Rawatan Syisyah, di sini.

Turut hadir, Pengarah Operasi Perubatan Makkah Dr Amin Sah Ahmad dan Pegawai Penyelaras Rombongan Perubatan Mohd Radzi Hashim.

Pusat Rawatan Syisyah adalah pusat rawatan utama di Makkah yang mempunyai 197 katil serta satu bilik pengasingan bagi penyakit berjangkit.

Pusat rawatan di ibu pejabat TH Makkah di Hotel Abraj Al-Janadriyah pula mempunyai 34 katil manakala pusat rawatan di ibu pejabat TH Madinah di Dar Al-Jeffry mempunyai 37 katil.

Beliau berkata, di Madinah, pihaknya mempunyai tiga klinik iaitu satu di setiap zon manakala di Makkah terdapat 22 klinik tetapi setakat ini, 18 beroperasi.

“Pasukan petugas perubatan kita mampu merawat kebanyakan kes kerana mempunyai kepakaran diperlukan.

“Hanya bagi kes kritikal seperti membabitkan pemindahan darah, kita merujuk ke hospital Arab Saudi kerana mereka mempunyai peralatan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya merawat 6,481 kes pesakit luar dengan kira-kira 27 peratus berkaitan masalah pernafasan akibat jangkitan kuman dalam paru-paru serta penyakit berkaitan kulit dan sendi.

Katanya, sehingga kini, 125 pesakit dirawat di pusat rawatan manakala 17 lagi dirujuk ke hospital Arab Saudi dengan kebanyakan kes berkaitan masalah jantung, kencing manis dan jangkitan paru-paru.

Beliau berkata, memandangkan keadaan cuaca panas di Tanah Suci dengan suhu mencecah 46 darjah Celsius, jemaah dinasihatkan minum banyak air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 5:58 AM