MOHD Na’im bersama Rashid Hussain dan Syed Hamadah melawat pameran salah satu reruai yang ada di Pusat Pameran dan Dagangan Makkah. FOTO Husain Jahit
MOHD Na’im bersama Rashid Hussain dan Syed Hamadah melawat pameran salah satu reruai yang ada di Pusat Pameran dan Dagangan Makkah. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Seorang lagi jemaah haji dilaporkan meninggal dunia di Hospital King Abdulaziz, di sini, semalam akibat pendarahan otak sebelah kanan selepas menerima rawatan selama enam hari.

Allahyarham Zuraida Mohd Haris, 37 dari Ampang, Selangor meninggal dunia pada jam 8.15 malam, dan disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram selepas Subuh, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut melahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada waris serta keluarga Allahyarham dan pengurusan badal haji akan ditanggung oleh Tabung Kebajikan Lembaga Tabung Haji.

"Sehingga kini, Tabung Haji (TH) melaporkan lima jemaah haji sudah meninggal dunia akibat pembuluh darah utama pecah, serangan jantung, kegagalan fungsi organ dan pendarahan otak," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji, di Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Seri Abdul Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Sayed Abdul Rahman.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 56 jemaah haji sedang dirawat yang mana 13 daripadanya di Hospital Arab Saudi manakala 43 lagi di Pusat Rawatan TH Makkah.

"Jemaah yang dimasukkan ke pusat rawatan dan hospital ini adalah disebabkan oleh masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman pada paru-paru dan penyakit lain seperti masalah jantung, darah tinggi, gangguan emosi (psikiatri), dan sakit otot serta sendi.

"Insya Allah, pasukan Perubatan Tabung Haji akan merawat pesakit dengan baik bagi memastikan jemaah haji berada dalam keadaan yang stabil dan kembali pulih," katanya.

Beliau berkata, mereka juga akan akan menguruskan pergerakan jemaah yang sakit semasa pergerakan Masyair supaya mereka dapat berwukuf yang juga merupakan rukun haji

Beliau turut mengucapkan syabas kepada petugas rombongan perubatan kerana berkorban tenaga dan masa untuk memastikan setiap jemaah haji yang uzur dapat menunaikan rukun haji, melalui inisiatif safari wukuf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:21 PM