MUKHRIZ (tengah) ketika sesi penerangan berhubung Projek Solar Sik oleh Pengurus Besar Cypark Resourses Berhad, Achmat Nandhrain Ibrahim (dua kiri) selepas Majlis Pelancaran Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui Serta Projek Solar Sik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUKHRIZ (tengah) ketika sesi penerangan berhubung Projek Solar Sik oleh Pengurus Besar Cypark Resourses Berhad, Achmat Nandhrain Ibrahim (dua kiri) selepas Majlis Pelancaran Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui Serta Projek Solar Sik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


KEDAH dijangka memperoleh pelaburan bernilai RM6 billion daripada Industri Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui dengan sasaran pengeluaran 2,000 Megawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, industri itu juga berupaya untuk mewujudkan sekitar 30,000 peluang pekerjaan berkepakaran dan berpendapatan tinggi sepanjang tempoh yang sama, serta membuka peluang perniagaan dan industri hiliran baru.

Katanya, pelan itu akan dibangunkan oleh Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) dengan kerjasama Cypark Resources Berhad dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui ini menggariskan empat teras utama iaitu pembangunan tenaga solar, biomass, biogas dan hidroelektrik.

“Kedudukan Malaysia yang dekat dengan garisan Khatulistiwa, membolehkan negara ini mengumpul tiga kWh (Kilowatt per jam) elektrik bagi setiap meter persegi manakala tenaga biomass dan biogas dapat dihasilkan menerusi sisa buangan yang terhasil dan dikumpulkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga sisa buangan dari hasil pertanian,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui Serta Projek Solar Sik di Alor Setar, malam tadi.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, sisa pertanian yang banyak dari ladang kelapa sawitseluas 87,500 hektar dan 212,000 hektar kawasan padi di negeri itu juga turut dimanfaatkan untuk diproses menghasilkan tenaga boleh diperbaharui melalui kepakaran teknologi yang ada.

“Contohnya, sekam padi boleh menghasilkan tenaga kerana ia mempunyai 30 hingga 50 peratus karbon organik.

“Selain itu, 1,400 tan sampah sehari yang dibuang di tujuh tapak pembuangan sampah yang kita ada akan ditukar kepada tenaga, sudah tentu kita dapat menyelesaikan isu tapak pelupusan sampah,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Kedah juga bercadang untuk menggunakan bumbung bangunan kerajaan bagi menjana tenaga boleh upaya yang akan bermula di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon,di sini dan akan diperluaskan ke bangunan kerajaan yang lain termasuk Wisma Darul Aman dalam masa yang terdekat.

Mukhriz berkata, panel solar terapung turut akan dibangunkan di kawasan tasik empangan yang sedia ada di Kedah seperti di Pedu dan juga Beris dan diperluas di kawasan sawah padi serta tanaman ladang.

“Selain dapat menyumbang kepada grid tenaga nasional.

“Ia juga dapat menjana pendapatan sampingan kepada petani terutamanya di luar musim penanaman,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:51 AM