Kapal jack-up melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada satu daripada daripada lima turbin angin luar pesisir Blyth 1 yang terletak di Blyth, Northumberland. TNB mengambil alih 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL).
Kapal jack-up melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada satu daripada daripada lima turbin angin luar pesisir Blyth 1 yang terletak di Blyth, Northumberland. TNB mengambil alih 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL).
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerjasama dalam dagangan tenaga, terutamanya yang dijana daripada sumber boleh diperbaharui dalam kalangan grid kuasa ASEAN akan menjadi penting bagi kelestarian dan kecukupan tenaga, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Dr Noor Miza Muhamad Razal, Pengarah Projek (Hala Tuju Kelestarian), Bahagian Strategi dan Usaha Niaga TNB berkata saling sambung grid adalah baik bagi sistem kuasa di mana-mana sahaja selain pemindahan tenaga kerana ia menawarkan langkah kestabilan kepada sistem.

Bagaimanapun, ini bergantung kepada negara masing-masing sama ada mereka menimbang penggunaan dalaman tenaga boleh diperbaharui adalah lebih baik dalam menangani agenda kelestarian, katanya semasa taklimat maya mengenai Laluan Kelestarian TNB, hari ini.

Pada September 2017, satu perjanjian tiga pihak ditandatangani yang menyaksikan TNB bersetuju untuk membeli 100MW elektrik dari Laos, menggunakan grid penghantaran bersama negara jiran Thailand.

Laos mengeksport elektriknya yang dijana daripada stesen kuasa hidro di Delta Mekong.

"Adalah menjadi amalan untuk memperdagangkan tenaga boleh diperbaharui dari satu negara ke negara lain dalam ASEAN dan sudah pastinya di seluruh dunia," katanya.

"Apabila kita membicarakan mengenai Malaysia, kita perlu melihat kepada hakikat bahawa Sarawak memiliki saling sambung dengan Indonesia dan juga Sabah. Sabah juga sangat dekat dengan Filipina… jadi sudah pastinya ada peluang (bagi dagangan pada masa depan)," katanya.

Noor Miza berkata TNB mencatatkan kemajuan beransur-ansur dalam strategi pertumbuhan tenaga boleh diperbaharuinya untuk mencapai 8.3GW tenaga menjelang 2035; ketika ini, kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang dipasang berjumlah 3.4GW terdiri daripada hidro domestik (2.5GW), solar domestik (0.2GW) dan solar, hidro dan angin antarabangsa (0.7GW).

Menurutnya, TNB akan terus mengembangkan pelaburan tenaga boleh diperbaharuinya di pasaran luar negara dengan operasi sedia adanya dan meneroka pasaran baharu dalam bidang fokus yang dikenal pasti yang termasuk turbin angin, panel solar, hidrogen hijau, simpanan tenaga, mobiliti elektrik dan bandar pintar.

"Kami akan melabur dan mengembangkan teknologi hijau baharu kami untuk mencapai sasaran sifar bersih dan tanpa arang batu menjelang 2050," katanya.

Pada lewat 2021 TNB membentuk Bahagian Tenaga Baharu untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui syarikat di pasaran bersasar dan menjalin perkongsian strategik dengan pemain tenaga boleh diperbaharui utama bagi memanfaatkan kepakaran teknikal.

Bahagian Tenaga Baharu itu menyelaraskan cabang pengembangan tenaga boleh diperbaharui TNB dan menyelia dua entiti utama -- anak syarikat milik penuh Vantage RE Ltd, untuk menumpu kepada pasaran United Kingdom dan Eropah dan TNB Renewables yang berpangkalan di dalam negara untuk menumpukan kepada pasaran domestik dan Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 5:05 PM