Siti A’isyah Sukaimi


OPS Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di premis dekat Sungai Besi, Kuala Lumpur, Rabu lalu berjaya menahan 31 warga asing dan tiga orang tempatan.

Premis itu pernah diserbu tahun lalu dan penjaga serta beberapa wanita asing yang sama turut ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, premis didapati menjalankan aktiviti pelacuran babitkan wanita asing dengan bayaran dikenakan bermula RM190.

“Ketika serbuan, terdapat tonto mengawasi setiap kenderaan yang keluar dan masuk ke premis itu. Ada yang cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Premis itu kerap dikunjungi pelanggan warga asing seperti Iran, Jepun, Korea dan sebagai. Bilik yang digunakan untuk perkhidmatan seks dihias cantik dan mempunyai bilik mandi dalam setiap bilik,” katanya pada sidang media diadakan di Putrajaya.

Beliau berkata, daripada jumlah ditahan, 27 orang adalah wanita asing dengan 15 orang Indonesia, Thailand (8) dan Vietnam (4) dipercayai pelacur.

Manakala, baki empat orang adalah lelaki Bangladesh yang bekerja di premis itu.

“Tiga lelaki tempatan yang ditahan ialah penjaga premis berkenaan. Premis ini kita pernah serbu pada 5 Disember tahun lalu dan kes masih dalam proses perbicaraan dan belum selesai,” katanya.

Dzaimee berkata, ada penjaga premis dan beberapa wanita asing itu pernah ditangkap dalam operasi lalu dan dalam jaminan mahkamah.

Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:50 PM