ANTARA wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO, pekerja dan pelanggan di sebuah pusat hiburan di Kota Damansara ditahan pegawai JIM dalam serbuan malam tadi. FOTO IHSAN JIM
ANTARA wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO, pekerja dan pelanggan di sebuah pusat hiburan di Kota Damansara ditahan pegawai JIM dalam serbuan malam tadi. FOTO IHSAN JIM
Raja Noraina Raja Rahim


SEBUAH pusat hiburan terkenal yang dikatakan ‘kebal‘ daripada sebarang tindakan undang-undang dan sukar diserbu pihak berkuasa akhirnya berjaya ditembusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam tadi.

Premis beroperasi di Kota Damansara itu dipercayai menyediakan wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) untuk menemani pelanggan berhibur dan menghidangkan minuman keras.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 17 pegawai dan anggota Unit Quick Response Team (QRT) menyerbu premis berkenaan pada 11.30 malam.

Menurutnya, premis itu dikawal ketat oleh tonto dan dikatakan sukar ditembusi oleh pihak penguat kuasa sebelum ini.

“Sebaik pasukan berjaya menyerbu masuk premis itu, semua warga asing cuba melarikan diri melalui pintu rahsia yang terletak di belakang pentas dan tandas, namun tidak berhasil apabila berjaya ditahan.

“Seramai 57 orang diperiksa dan daripada jumlah itu 50 warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada 40 wanita warga Thailand, Vietnam (2) dan tujuh lelaki Thailand serta Myanmar (1),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Indera Khairul berkata, dua lelaki tempatan yang disyaki dalang menguruskan GRO dan sebagai penyelia premis turut ditahan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan menyediakan kalungan bunga dan tiara untuk pelanggan menempah GRO pada harga antara RM50 hingga RM1,000.

“GRO terbabit mampu memperoleh tips daripada pelanggan antara RM1,000 hingga RM4,000 sehari selain dibayar gaji antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan oleh majikan.

“Kebanyakan mereka memasuki Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial (PLS) dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) tetapi bekerja sebagai GRO,” katanya.

Tambah beliau, lima notis untuk hadir memberi keterangan dikeluarkan kepada pekerja, pengawal peribadi dan pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 5:03 PM