MOHD Hasnol (kanan) memberi taklimat kepada tim 'Lipan Bara' sebelum memulakan rondaan. FOTO Yusri Abdul Malek
MOHD Hasnol (kanan) memberi taklimat kepada tim 'Lipan Bara' sebelum memulakan rondaan. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek


KELIBAT mereka yang berpakaian baju dan bertopi serba merah sering dilihat di pintu keluar masuk Masjidilharam selain laluan utama jemaah berulang-alik ke maktab penginapan.

Mereka adalah anggota Unit Peronda Tabung Haji (TH) atau mendapat jolokan tim 'Lipan Bara'.

Tugas utama mereka ialah membantu jemaah yang tersasar atau sesat hingga gagal mencari jalan pulang ke maktab.

Ketua Unit Peronda 1440 Hijrah Sarjan Mohd Hasnol Abu Hassan berkata, pasukan itu terdiri daripada 17 anggota dan mereka ditempatkan di tujuh lokasi dan bertugas 24 jam mengikut giliran tiga syif.

Katanya, semua anggota perlu bergerak selalu bagi mengawasi jemaah haji Malaysia dan bukan statik.

"Kalau mereka tidak bergerak boleh diumpamakan jagung kalau letak kat situ pun boleh masak...jadi anggota perlu aktif mengawasi di lokasi jagaan masing-masing," katanya ketika ditemui di Makkah.

Menurutnya yang juga Polis Bantuan TH, kebanyakan jemaah ada dalam kawasan Masjidilharam dan tidak hilang cuma mereka tidak ingat atau tidak tahu jalan pulang ke maktab.

"Kalau ada kes hilang pun....sebenarnya mereka tidak hilang tetapi tidur dalam masjid," katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Haji Makkah Datuk Ahmad Sohaimi Abdul Rahim berkata, pasukan unit peronda itu penting kerana merekalah orang pertama yang melaporkan apa yang berlaku kepada jemaah kita jika ada apa-apa kejadian di Masjidilharam.

"Misalnya dalam kes kren runtuh pada 2015, pasukan peronda di lokasi yang pertama melaporkan kejadian itu dan mereka yang berada di ibu pejabat akan mengambil langkah yang perlu dibuat, " katanya dalam sidang media.

Menurutnya, jemaah mudah dikesan kerana memakai lanyard yang ada tanda nama terutama lanyard oren bagi mereka yang baru sampai dan mengerjakan umrah buat pertama kali berserta zon maktab masing-masing.

"Lanyard ini memudahkan petugas peronda mengenal pasti maktab jemaah andai mereka tersasar," katanya.

Sohaimi berkata, cabaran pasukan itu kini adalah cuaca panas terutama bagi petugas pada siang hari.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:39 PM