ANGGOTA Unit Peronda TH (tengah) membantu memantau pergerakan jemaah haji Malaysia daripada tersesat jalan.
ANGGOTA Unit Peronda TH (tengah) membantu memantau pergerakan jemaah haji Malaysia daripada tersesat jalan.

Oleh Noor Azam Abd Aziz

Makkah: Keselamatan jemaah haji Malaysia diberi perhatian oleh pengurusan Tabung Haji (TH) dengan menempatkan Unit Peronda TH 24 jam sehari untuk memantau pergerakan mereka.

Pengurus Pusat Khidmat Pelanggan di ibu pejabat TH di sini, Jamaludin Ahmad berkata, unit berkenaan ditempatkan di beberapa pos strategik bagi memberi bantuan serta tunjuk arah kepada jemaah haji untuk pulang ke hotel.

Beliau berkata, petugas unit peronda juga akan membantu sekiranya menerima maklumat atau aduan mengenai jemaah yang sakit di dalam atau sekitar masjid.

Menurutnya, petugas Unit Peronda TH dianggotai 17 petugas terdiri anggota Polis Bantuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Katanya, kumpulan itu bertugas dalam tiga syif, 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

“Walaupun jumlah petugas peronda agak kecil berbanding jumlah jemaah haji Malaysia 22,230 orang, kehadiran mereka sedikit sebanyak melegakan jemaah yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui.

Jamaludin berkata, petugas peronda berkenaan terdiri anggota polis bantuan dan PDRM terlatih.

Menurutnya, khidmat Unit Peronda TH antara perkhidmatan disediakan Pusat Khidmat Pelanggan di Tanah Suci.

Selain khidmat unit peronda, pusat itu juga menguruskan maklum balas jemaah haji termasuk aduan berkaitan perkhidmatan disediakan termasuk perkhidmatan mencetak lencana pengenalan haji gantian jika ia hilang atau rosak.

“PKP turut bertindak sebagai pusat bantuan di Tanah Suci yang menjawab panggilan telefon serta menyalurkan kepada pihak berkaitan melalui talian khas 012-5704433.

“Nombor ini tertera pada gelang pengenalan haji yang dibekalkan kepada setiap jemaah,” katanya.

Bagi melancarkan operasi katanya, TH mewujudkan kaunter di ibu pejabat TH di sini dan di Hotel Land Premium.

Secara keseluruhan katanya, maklum balas jemaah haji mengenai perkhidmatan disediakan baik sekali.

Katanya, penambahbaikan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata, antaranya memperkenalkan tali untuk lencana pengenalan haji berwarna mengikut maktab.

“Terdapat enam warna digunakan iaitu hijau untuk Maktab 83, kuning (Maktab 86), merah jambu (Maktab 88), biru (Maktab 89), jingga (Maktab 90) dan ungu (Maktab 91).

“Warna ini juga digunakan sebagai tema yang oleh menjadi panduan kepada jemaah untuk membezakan maktab ketika berada di Mina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:18 AM