Projek tambak laut di Persiaran Gurney, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Projek tambak laut di Persiaran Gurney, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PELAKSANAAN projek penambakan laut, Penang South Reclamation (PSR) akan menjejaskan 4,996 nelayan dengan 1,422 daripadanya nelayan tradisional Zon A.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, selain itu, 51,184 tan metrik pendaratan ikan di Pulau Pinang bernilai RM555 juta juga terjejas akibat kemusnahan kekal berkenaan.

“Selain itu, projek PSR juga akan menjejaskan 511 penternak akuakultur (ikan marin) dengan pengeluaran 45,742 tan metrik bernilai RM1.67 bilion setahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Salahuddin menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) mengenai kesan projek PSR terhadap hasil tangkapan ikan dan hidupan laut nelayan serta pembelaan yang diberikan bagi melindungi mereka yang terjejas.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pembelaan atau pampasan yang setimpal kepada nelayan di Pulau Pinang juga harus diberikan akibat projek berkenaan.

Katanya, memandangkan ia adalah inisiatif kerajaan Pulau Pinang, maka kementerian berpandangan, kerajaan negeri itu perlu memberi pembelaan atau pampasan setimpal kepada nelayan terjejas.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kerajaan Pulau Pinang juga perlu mematuhi zon konservasi perikanan bagi melindungi nelayan setempat yang terjejas hasil tangkapan ikan dan hidupan laut mereka.

Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Perikanan menggariskan penggazetan zon perikanan di sepanjang pesisir pantai dari Pulau Betung sehingga Teluk Bahang termasuk kawasan air sehingga satu batu nautika dan penggazetan ‘middle bank’ sebagai kawasan perlindungan perikanan.

“Kerajaan negeri juga perlu mengubahsuai reka bentuk pulau dengan menyediakan laluan migrasi ‘subtidal zone’ sedalam satu hingga dua meter, ketika air surut paling rendah dengan kelebaran mencukupi di selatan pulau yang dicadangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 2:21 PM