Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang melihat isu projek tambakan laut di perairan selatan (PSR) negeri ini menerusi skop yang lebih besar iaitu kesan jangka panjang kepada nelayan dan habitat hidupan marin di kawasan akan ditambak.

Timbalan Menteri II kementerian itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia berikutan projek terbabit mengancam 87 spesies hidupan laut.

Menurut beliau, hasil pendaratan perikanan dari kawasan PSR yang bakal terkesan dengan projek itu dianggarkan 13,418.11 tan setahun atau 24.5 peratus daripada keseluruhan hasil pendaratan Pulau Pinang.

"Saya meneliti maklum balas Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum ini, khususnya mengenai penyediaan alur atau laluan kepada nelayan ke laut sekiranya projek itu diteruskan.

"Saya tidak faham kenapa isu ini dibawa kepada perbincangan sangat kecil seperti itu, sedangkan kita melihat berkenaan kerosakan keseluruhan habitat perikanan, tentang nelayan yang hilang punca rezeki yang tidak akan terbayar dengan apa-apa nilai pampasan atau ex-gratia kerajaan negeri.

"Antara spesis yang bakal terancam ialah bawal putih, bawal tambak, udang kaki merah, udang harimau dan udang putih yang mana spesies itu mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Che Abdullah ditemui selepas melakukan tinjauan dan bertemu komuniti nelayan di Sungai Batu dan Teluk Kumbar di sini, yang bakal terjejas secara langsung dengan projek PSR dirancang kerajaan negeri Pulau Pinang.

CHE Abdullah (dua kiri) beramah mesra bersama nelayan ketika membuat lawatan kerja bagi Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) di persisiran pantai Teluk Kumbar. FOTO Mikail Ong
CHE Abdullah (dua kiri) beramah mesra bersama nelayan ketika membuat lawatan kerja bagi Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) di persisiran pantai Teluk Kumbar. FOTO Mikail Ong

Mengulas lanjut, Che Abdullah turut kesal dengan kenyataan Kon Yeow berhubung sumbangan sumber perikanan dari kawasan projek PSR yang hanya menyumbang dua peratus kepada sumber perikanan negara.

Kata beliau, sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow sepatutnya bertanggungjawab bagi bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menambah baik sumber perikanan serta meningkatkan lagi pendaratan di kawasan itu.

"Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat menaikkan lagi tahap sara diri (SSL) ikan negara dan memperkukuhkan sekuriti makanan negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mafi tidak menolak kemungkinan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya menolak Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek tambakan itu.

Che Abdullah berkata, ia antara peranan dan tugas yang boleh diambil pihaknya melihat kepada kesan buruk projek itu khususnya kepada hasil pengeluaran ikan negara.

"Kemungkinan bagi meminta EMP tidak diluluskan memang sentiasa ada dan kita akan cuba meneliti peranan dan tugas yang boleh kita laksanakan bagi memastikan projek PSR dibatalkan," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus dilaporkan berkata, pihaknya menunggu JAS memberi 'lampu hijau' kepada EMP yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat sebelum melaksanakan projek PSR, sesuai dengan garis panduan yang diluluskan.

Bagaimanapun, JAS dalam kenyataannya menafikan perkara itu dan memaklumkan jabatan berkenaan belum menerima EMP mengikut turutan asal projek selepas EMP dikemukakan sebelum ini tidak sama seperti dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lulus pada 25 Jun 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 5:09 PM