GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang segera membatalkan sebarang cadangan projek berkaitan aktiviti tambak laut.

Ia berikutan, aktiviti terbabit hanya menjejaskan mata pencarian dan kehidupan komuniti nelayan yang sudah cukup terkesan akibat Covid-19.

Setiausaha Jaring Azrilnizam Omar berkata, kerajaan negeri masih menggerakkan usaha melaksanakan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang dengan tampil menawarkan nilai pampasan yang dilihat tidak wajar dan tidak setimpal dengan nilai ekosistem serta sumber perikanan yang bakal dimusnahkan oleh pembinaan itu.

Seharusnya pada masa ini, katanya, kerajaan negeri perlu fokus membantu rakyat menangani kesan Covid-19 dan membangunkan ekonomi negeri dengan kaedah yang lestari.

"Jaring memandang serius perkara ini dan tetap bertegas dengan pendirian membantah sepenuhnya pembinaan pulau buatan.

"Jaring juga menggesa komuniti nelayan di selatan Pulau Pinang supaya tidak mempertimbangkan sebarang bentuk pampasan kerana kehilangan kawasan tangkapan kelak tidak ternilai oleh wang ringgit," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan menerusi projek 'Penang South Reclamation' (PSR), merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah bagi membiayai Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang.

Difahamkan, jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 hingga 50 tahun.

Sekiranya diteruskan, kesannya bukan sahaja membabitkan nelayan di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang tetapi lebih 6,000 nelayan seluruh negeri di bahagian utara akan terjejas.

Mengulas lanjut, Azrilnizam berkata, kini kerajaan negeri Kedah pula tampil mengumumkan aktiviti pembinaan pulau buatan di Langkawi.

"Projek yang akan dibangunkan di pulau buatan itu adalah projek bernilai tinggi dan secara praktikalnya tidak akan mampu dimiliki majoriti penduduk tempatan ataupun komuniti pesisir pantai di Langkawi, khususnya nelayan.

"Ketika Covid-19 kembali mengganas sehingga Kerajaan Persekutuan terpaksa melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk di Pulau Pinang dan Kedah, adalah sangat tidak wajar serta tidak rasional bagi kerajaan negeri melaksanakan sebarang projek yang boleh memusnahkan ekosistem pesisir pantai.

"Ia hanya akan menjejaskan mata pencarian dan kehidupan komuniti nelayan pantai selain menyebabkan sebahagian besar masyarakat dalam kelompok B40 yang bergantung kepada hasil laut bagi sumber protein akan kehilangan jaminan bekalan sumber perikanan," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media semalam melaporkan, Kedah bakal menerima pelaburan domestik dalam sektor pembangunan hartanah eksklusif membabitkan jumlah RM40 bilion dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang daripada syarikat milik penuh Bumiputera iaitu Widad Business Group Sdn Bhd (Widad Business Group).

Projek yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka itu membabitkan pembangunan komersial berskala besar di Lot 978, Seksyen 4, Bandar Padang Mat Sirat, Pulau Langkawi dengan 90 peratus daripadanya merupakan lautan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:08 PM