JEMAAH haji Malaysia dijamin selamat sepanjang musim haji ini. FOTO Arkib NSTP.
JEMAAH haji Malaysia dijamin selamat sepanjang musim haji ini. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

KERAJAAN akan bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia terjamin berikutan ketegangan di Timur Tengah antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dalam soal itu, pihak Tabung Haji (TH) sentiasa berurusan dengan pihak keselamatan Arab Saudi.

“Ini kerana apabila jemaah haji berada di bumi Makkah, ia di bawah (bidang) kuasa (pihak) keselamatan Arab Saudi dan sudah tentulah mereka mempunyai obligasi yang tinggi dan tanggungjawab bagi menjamin keselamatan jemaah haji seluruh dunia termasuk jemaah haji Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jaminan kerajaan berhubung keselamatan jemaah haji Malaysia berikutan perkembangan di rantau itu.

AS dilapor telah menggerakkan pesawat F-22 (stealth fighters) ke Timur Tengah susulan tindakan Iran baru-baru ini menembak jatuh dron milik AS. Iran mendakwa ketika kejadian, dron itu berada di ruang udaranya namun, Washington pula berkata ia berada di ruang udara antarabangsa.

Jemaah haji Malaysia dijadual berlepas mulai 4 Julai hingga 4 Ogos ini menerusi 62 penerbangan sewa khas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 2:43 PM